www.tukartayarbaru.blogspot.com : Email. tukartayarbaru@gmail.com

Thursday 21 April 2011

TG HJ.HADI SEDIA DITANDINGI, TG NIK AZIZ KATA JANGAN.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menegaskan PAS tidak mengubah pemimpin termasuk presiden hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya termasuk ekoran kegagalan memperoleh kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak minggu lalu.

Katanya, PAS mempunyai cara tersendiri menilai kepimpinan dan faktor kalah pilihan raya bukan satu alasan tepat untuk mengubah kepimpinan.

“Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT," katanya.

Beliau berkata demikian semalam sebagai mengulas komen penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari, yang berpendapat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai liabiliti kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Selain itu, kegagalan PAS memperoleh sebarang kerusi pada Pilihan Raya Sarawak lalu juga dakwanya adalah berpunca dari kelemahan Presiden PAS.

“Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihan raya adalah satu langkah kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihan raya,” kata Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.

Pandangan Aziz Bari itu juga turut disanggah Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang mendakwa pensyarah undang-undang itu asyik mengulangi isu kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 untuk memalukan Presiden PAS.

Sementara itu, media hari ini melaporkan Abdul Hadi menyatakan kesediaan ditentang pada pemilihan pusat Jun ini.

“Jika ada pencalonan diterima pemimpin lain untuk menentang (saya), saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya bukan mahu menjadi pemimpin selamanya.

“Saya sendiri sudah berumur dan memerlukan barisan pelapis,” kata beliau dipetik media.

Tambahnya, PAS juga mengalu-alukan pertandingan sebarang jawatan untuk membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin selain memantapkan kepimpinan parti.

“Pertandingan digalakkan bukan sahaja bagi jawatan parti peringkat cawangan dan kawasan, tetapi meliputi kesemua jawatan termasuk peringkat tertinggi melibatkan jawatan presiden, timbalan dan naib,” kata beliau dipetik Sinar Harian hari ini.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

About Me

tukartayarbaru
BERIKHTIAR DAN MENDOAKAN KESEMBUHAN SEMUA
View my complete profile

tukartayarbaru

tukartayarbaru

Malaysiakini

Harakah

Utusan Online

Kosmo Online