www.tukartayarbaru.blogspot.com : Email. tukartayarbaru@gmail.com

Thursday 21 April 2011

BUKAN PISTOL TENGKU FAKHRY TEMBAK BODYGUARD ISTANA

Mahkamah Koroner Rabu diberitahu peluru yang menyebabkan kematian pengawal Istana Kelantan Ramli Mohamad disahkan tidak sepadan dengan senjata api milik bekas Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ASP Kamarulnizam Alias berkata, oleh itu, semua senjata api dan peluru milik baginda dikembalikan selepas siasatan selesai.

"Peluru yang dianalisis Bahagian Balistik Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia, Cheras mengesahkan ia berlaras .32 manakala senjata api dan peluru yang diambil dari Istana Mahkota milik (bekas) Tengku Temenggong pada 5 Mei 2010 adalah tidak sepadan.

"Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (kini Timbalan Ketua Polis Kelantan) Datuk Mazlan Lazim telah mengarahkan agar semua senjata api dan peluru itu diserahkan kembali selepas itu," katanya ketika memberi keterangan pada inkues bagi menyiasat kematian Ramli dalam kejadian di Palekbang, Tumpat pada awal pagi, 1 Mei tahun lepas.

Bernama melaporkan, Inkues itu didengar oleh Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Wan Abdul Razak Wan Hussein.

Pada prosiding 30 Mac lalu, juruanalisis polis Inspektor Amir Abdullah mengesahkan peluru yang diperiksanya berkaitan kes pembunuhan itu adalah sepadan dengan pistol berlaras .32.

Kamarulnizam berkata polis telah mengambil selaras "shot gun" jenis Benelli, 10 butir peluru jenis Winchester, tali silang, selaras pistol jenis "Auto Glock", 41 butir peluru Winchester, dua kelopak peluru dan lesen memiliki senjata api milik Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Katanya, polis turut menahan dua lelaki bagi membantu siasatan iaitu pemandu istana Mohd Salleh @ Abdul Ghani Ismail dan tukang masak peribadi Tengku Muhammad Fakhry Petra, Mohd Rusdee Hassan @ Thopearoh atau Chef Dee.

Beliau berkata polis merampas sebuah telefon bimbit jenis Motorola milik Mohd Rusdee bagi menyiasat butiran mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Terdapat satu SMS yang disiasat, yang dihantar Rosli Mat Yaman, bersabit sebuah motosikal yang dipinjam Mohd Rusdee sebelum kejadian," katanya.

Beliau berkata dalam keterangan kepada polis, Rosli atau 'Abang Long' mendakwa Mohd Rusdee datang bersama seorang lelaki lain untuk mengambil motosikal milik individu dikenali sebagai 'Emi Azmi' pada 28 April 2010.

"Namun, Mohd Rusdee pula mendakwa hanya beliau seorang sahaja yang mengambil motosikal berkenaan," katanya yang menambah motosikal itu dikembalikan kepada Emi Azmi pada 2 Mei 2010, iaitu sehari selepas kejadian tembak berlaku.

Selain Kamarulnizam, turut memberi keterangan hari ini ialah bekas pekerja Istana Mahkota iaitu Mohamad Burhanuddin Abd Maleki dan anak Ramli, Nurhidayah.
Raja Norshuzianna Shakila kemudian menetapkan 2 Mei depan untuk hujahan lisan sebelum mengumumkan keputusan inkues.

Seramai 38 saksi memberi keterangan pada prosiding inkues yang berlangsung selama lapan hari mulai 10 Jan lepas. www.agendadaily.com

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

About Me

tukartayarbaru
BERIKHTIAR DAN MENDOAKAN KESEMBUHAN SEMUA
View my complete profile

tukartayarbaru

tukartayarbaru

Malaysiakini

Harakah

Utusan Online

Kosmo Online