www.tukartayarbaru.blogspot.com : Email. tukartayarbaru@gmail.com

Monday, 18 April 2011

SEBAB-SEBAB KEMPEN PR DIMINATI PENGUNDI. Analisis Prof.Dr.Jayum Anak Jawan (UPM)

Beginilah analisis seorang yang cerdik pandai yang juga merupakan anak jati Sarawak. Kenapa kempen PR dalam PRN Sarawak diminati serta dihadiri beribu-ribu orang? Ini disebabkan kempen PR lebih menjurus kepada kehendak rakyat, bukannya budaya merasmi itu dan ini oleh BN tetapi manifesto pembangkang adalah spesifik dan fokus kepada pelbagai masalah bercorak tempatan, bukan abstrak dan umum seperti urus tadbir, rasuah dan krisis mata wang yang sukar mendapat tumpuan pengundi luar bandar khasnya. Ikuti petikan soal jawab bersama Prof.Jayum.
Bagaimana Prof melihat corak kempen pilihan raya Sarawak kali ini, adakah berbeza dengan pilihan raya negeri sebelum ini?

Kempen adalah nadi dalam demokrasi. Rakyat berhak mendapat sebanyak mungkin maklumat mengenai politik dan latar belakang calon yang bertanding. Dalam kempen kali ini, maklumat cukup banyak, sama ada dalam ceramah atau dalam pelbagai media yang disajikan melalui pelbagai saluran. Ini satu-satunya perkara yang menyuburkan demokrasi. Rakyat Sarawak sudah matang, mereka sudah biasa dengan proses politik ini sejak Pilihan Raya Umum 1964 dan 1969. Saya tidak risau apa sekali pun corak dan taktik yang dipakai parti politik yang bertanding. Pada akhirnya nanti, kuasa penentu itu adalah rakyat. Mereka bijak menapis apa yang benar dan apa yang tidak benar.

Corak kempen kali ini bertambah kompetitif kerana barisan pembangkang sudah mula fokus dalam kempen mereka. Kali ini pembangkang menentukan agenda yang mereka mahu bawa berbanding pada masa lampau yang menyaksikan mereka sekadar memberi maklum balas kepada sajian parti pemerintah. Di pihak parti pemerintah, corak dan taktik kempen sama saja, iaitu mereka fokus kepada pembangunan material, kemampuan mereka menyalurkan pembangunan fizikal seperti membuat jalan raya, memberi peruntukan kepada badan tertentu dan seumpamanya.

Kesimpulannya, kempen parti pemerintah dapat dijangkakan dan sebab itu di kebanyakan ceramah mereka, kehadiran khalayak tidak begitu ramai berbanding ceramah pembangkang. Parti pemerintah menarik perhatian pengundi kepada pertama, rekod pembangunan di bawah pemerintahan mereka dan kedua, kepada usaha pembangunan yang dijalankan serta-merta sempena pilihan raya berkenaan. Oleh itu kebanyakan aktiviti calon parti pemerintah adalah melancarkan itu dan ini di sana sini, melulus atau memberi peruntukan kepada pelbagai kegiatan dan pertubuhan.

Parti pembangkang pula menjanjikan pelbagai pakej program yang akan mereka laksanakan sekiranya berjaya mendapat sokongan dan menubuhkan kerajaan. Berbanding dulu, kali ini pembangkang menawarkan pakej yang lebih bersepadu dan menjurus kepada menyelesaikan masalah yang mereka rasakan sudah membangkitkan kemarahan rakyat tempatan. Semua ini disenaraikan dalam manifesto mereka pada Buku Jingga yang merangkumi, antara lain menawarkan kerajaan negeri yang mereka terajui untuk menuntut 20 peratus royalti minyak daripada Kerajaan Pusat dan kedua, menubuhkan suruhanjaya tanah untuk mengkaji persoalan berkaitan tanah adat.

Berbanding sebelum ini, manifesto pembangkang adalah spesifik dan fokus kepada pelbagai masalah bercorak tempatan, bukan abstrak dan umum seperti urus tadbir, rasuah dan krisis mata wang yang sukar mendapat tumpuan pengundi luar bandar khasnya.

Boleh Prof bandingkan kenyataan tadi dengan kempen pilihan raya di negeri ini sebelum ini?
Isu dan pendekatan yang dibawa oleh parti pemerintah tidak berubah, lebih fokus kepada pembawa pembangunan. Mereka cuba membuktikannya dengan melaksanakan pelbagai projek kilat bagi mengotakan mesej ini. Bagi pengundi di bandar, pendekatan ini mungkin sudah tidak begitu berkesan. Di kalangan pengundi luar bandar, ia juga perkara rutin, maksudnya pengundi pernah dengar berulang kali dalam kempen pilihan raya. Selama ini, pembangkang terikat atas permainan parti pemerintah, tetapi kali ini parti pembangkang menentukan sendiri hala tuju kempen mereka dengan memberi harapan baru melalui janji yang terkandung dalam Buku Jingga.

Corak ini berjaya menarik minat dan perhatian pengundi dan sebab itu, ceramah dan kempen pembangkang sesak, khasnya di bandar utama seperti Kuching, Sibu dan Miri. Pengundi mahu tahu apa pembangkang janjikan sekiranya memerintah berbanding ceramah parti pemerintah yang mungkin membawa mesej yang sama, keperluan pembangunan dan kalau tidak mengundi BN Sarawak tidak maju.

Bagaimana Prof menilai kempen pembangkang yang dikatakan agresif kerana pengaruh dibawa dari Semenanjung dan adakah rakyat Sarawak bersedia menerima corak kempen sedemikian?
Suasana panas dan ada kala tegang sudah diduga kerana persaingan politik yang kuat antara dua kumpulan iaitu ahli parti pemerintah dan pembangkang. Taktik kurang menyenangkan dan membawa kepada suasana tegang ini hanya membuktikan pandangan rakyat Sarawak bahawa orang Semenanjung terdesak dalam politik mereka dan sanggup lakukan apa saja demi kepentingan survival politik masing-masing di Semenanjung, sama ada UMNO, MCA, PAS, PKR dan DAP. Semua ini bukan dilakukan untuk orang Sarawak! Ini pandangan yang saya dapat rumuskan selepas berbincang dengan beberapa pengundi dan tokoh politik Sarawak dari kedua-dua pihak, iaitu calon dan pemimpin dari parti dalam BN dan pakatan pembangkang.

Bagaimanapun, mereka tetap menaruh kepercayaan bahawa selepas semua ini berakhir, Sarawak tetap Sarawak dan orang Sarawak tetap kena berjiran, berbaik dan bergaul seperti sedia kala. Mereka juga yang perlu meneruskan kehidupan, bukan orang Semenanjung yang akan bergegas pulang selepas pilihan raya tamat.

Jika merujuk corak kempen bersifat etnik di Semenanjung yang cuba diperkenalkan di Sarawak, ini sesuatu yang amat tidak wajar dan patut dikutuk sekeras-kerasnya. Sarawak negeri majmuk di mana rakyat pelbagai etnik hidup mengamalkan persefahaman dan sikap kerjasama amat tinggi. Sifat ini yang membolehkan semua tanpa mengira agama dan latar belakang etnik hidup harmoni, aman dan damai selama ini. Di Sarawak saja, banyak keluarga merangkumi pelbagai etnik menganut agama Islam, Kristian, cara hidup tradisional, Buddha dan lain-lain. Mereka tetap mampu duduk dan makan bersama meraikan semua perayaan. Ini perlu dikekalkan dan mengatasi politik serta kempen sempit yang cuba dibawa dari Semenanjung, tidak kira dari parti mana mereka datang atau wakili. Bernama.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

About Me

tukartayarbaru
BERIKHTIAR DAN MENDOAKAN KESEMBUHAN SEMUA
View my complete profile

tukartayarbaru

tukartayarbaru

Malaysiakini

Harakah

Utusan Online

Kosmo Online