VALENCIA 21 April - Tandukan Cristiano Ronaldo pada masa tambahan, membawa Real Madrid muncul juara Piala Raja Sepanyol selepas menumpaskan musuh ketat, Barcelona 1-0 pada perlawanan akhir, pagi tadi.
Ini merupakan kemenangan ke-18 buat skuad bimbingan Jose Mourinho itu, sekali gus memberi suntikan semangat tambahan buat mereka, seminggu menjelang separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah yang menemukan dua gergasi bola sepak Sepanyol itu sekali lagi.
Malah, kemenangan tersebut juga menebus kekecewaan Real yang gagal mengutip mata penuh dalam perlawanan terakhir liga, apabila diikat 1-1 oleh Barcelona dalam perlawanan di gelanggang sendiri.
Kemenangan di Stadium Mestalla itu menamatkan kemarau tanpa kejuaraan yang melanda Real sejak kali terakhir merangkul kejuaraan liga pada 2008. - AFP
0 comments:
Post a Comment