PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa pada Rabu mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan pusat Jun ini setelah mendapat pencalonan menggalakkan daripada PAS kawasan setakat ini.
"Ya, saya akan pertahankan (jawatan Timbalan Presiden). Ini bererti saya akan bertanding untuk penggal yang ketiga," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Nasharudin yang juga Anggota Parlimen Bachok dipilih menjadi Timbalan Presiden PAS pada pemilihan parti 2005.
Beliau mempertahankan jawatan tersebut bagi penggal kedua dalam pemilihan parti ketika muktamar parti Ke-55 pada 2009 setelah mendapat 480 undi mengalahkan Datuk Husam Musa (281 undi) dan Mohamad Sabu (261 undi).
"Keputusan untuk mempertahankan jawatan itu dibuat atas semangat untuk meneruskan persiapan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang mungkin diadakan pertengahan tahun depan atau penghujung tahun ini.
"Ini yang saya akan teruskan bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang," tambahnya.
Nasharudin dijangka dicabar anggota jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu yang sebelum ini telah menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan yang sama.
"Saya terbuka untuk dilawan. Malah sebelum ini berlaku pertandingan tiga penjuru ketika saya bertanding jawatan itu," katanya.
0 comments:
Post a Comment