MELAKA TENGAH: Memalukan! Itulah ungkapan yang paling tepat menggambarkan suasana di kubu peninggalan Belanda di Bukit St John berhampiran Ujong Pasir, dekat sini, yang kini menjadi ‘port’ pasangan muda memadu kasih dan melepaskan nafsu pada waktu malam.
Suasana sunyi dan keadaan malam yang gelap tanpa cahaya lampu dikatakan menjadi faktor utama kawasan itu semakin menjadi pilihan golongan muda untuk membawa pasangan mereka dan melakukan perkara tidak bermoral itu.
Tinjauan ke kawasan ini mendapati suasana di atas bukit berkenaan sunyi dan hanya sesekali menjadi tumpuan pengunjung luar yang datang melihat dari jauh.
Lebih mengejutkan, di sebalik tembok peninggalan Belanda itu, beberapa bekas kondom dan kondom terpakai, selain tisu yang bersepah dipercayai digunakan untuk berasmara.
Turut ditemui beberapa bekas ubat dipercayai pil khayal yang diambil golongan terbabit sebelum memuaskan nafsu di sebalik kubu yang menempatkan beberapa meriam peninggalan Belanda.
Penduduk, Litfy Ahmad, 25, mendakwa suasana di atas bukit berkenaan sunyi tanpa kehadiran pengunjung luar dan hanya menjadi tumpuan penduduk setempat berjoging pada waktu petang, membuka peluang kepada aktiviti tidak bermoral itu.
Beliau mengakui pernah beberapa kali terjumpa bekas kondom bertaburan di beberapa sudut di atas bukit, selain botol arak bersepah di kaki bukit.
“Tempat ini hanya menjadi tumpuan pengunjung luar pada hujung minggu dan musim cuti. Pada waktu malam pula, ia memang gelap.
“Saya malu untuk membawa saudara atau rakan dari luar datang ke sini kerana beberapa sudut di atas bukit ini kerap dicemari kondom terpakai,” katanya.
Pengunjung, Farah Nur Syazana Mohd Yusof, 23, berkata pada mulanya dia tertarik melihat pemandangan Melaka Raya dari atas bukit berkenaan tetapi amat kecewa apabila terpandang kondom di sebalik kubu.
“Pertama kali ke sini, saya terkejut melihat kondom terpakai di beberapa sudut. Tempat tarikan pelancong ini sepatutnya dijaga dengan baik dan tidak dibiarkan menjadi kawasan melakukan perbuatan tidak bermoral.
“Pihak berkuasa tempatan perlu mengambil langkah pencegahan dengan serius dan berharap Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dapat melakukan pemantauan bagi mencegah pasangan kekasih menjadikan tempat ini lokasi melepaskan nafsu,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata, kebersihan di kawasan tarikan pelancong ini seolah-olah kurang diambil perhatian pihak pengurusan.
Katanya, pihak berkuasa perlu menerangi kawasan berkenaan dengan lampu di setiap sudut bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku kepada pengunjung luar.
“Saya dan rakan lain selalu berehat di pondok berhampiran tempat letak kenderaan dan setiap petang, tempat ini menjadi tumpuan orang ramai berjoging.
“Tempat ini perlu diterangi lampu kerana saya risau jika segelintir remaja bertindak jahat dengan menjadikannya lokasi melakukan jenayah seperti merogol dan merompak,” katanya.
Lim risau kerana bilangan pengunjung luar yang datang ke situ semakin berkurangan selepas tempat berkenaan dicemari golongan tidak bertanggungjawab dan digelar ‘port maksiat.’
0 comments:
Post a Comment