Kunjungan Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Dr. Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais ke Malaysia minggu lalu tidak membabitkan sebarang motif mahu mengembangkan fahaman Wahabi di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kedatangan Sheikh Dr. Abdul Rahman pada lawatan kerja lima hari itu bertujuan mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi.
"Kehadirannya ke negara ini bagi memenuhi jemputan kita untuk mengeratkan hubungan dua hala, jadi tidak timbul soal nak wujudkan atau membawa fahaman Wahabi.
"Kita menghormati kehadiran dan pandangan beliau tentang Islam, malah saya tidak nampak kehadiran beliau melalui program-program yang kita anjurkan ada usaha-usaha untuk menyuntik fahaman Wahabi," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Jamil Khir, terpulang kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengambil sebarang tindakan terhadap seorang pegawai kakitangan jabatan tersebut yang mendakwa lawatan Imam Besar Masjidil Haram itu adalah cubaan untuk menyuntik fahaman Wahabi.
Tambahnya, apa yang dinyatakan oleh pegawai berkenaan lebih kepada pendapat peribadi dan tidak berdasarkan kepada fakta sebenar.
Pegawai terbabit dikatakan menulis kenyataan berkenaan di dalam laman sosialnya yang mengesyaki lawatan selama lima hari Iman Besar Masjidil Haram itu sebagai cubaan menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform "kerajaan dengan kerajaan".
Tahun lalu, pegawai sama turut menjadi perhatian media ekoran kenyataannya mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI).
0 comments:
Post a Comment