Suhu panas yang melanda Semenanjung Malaysia ketika ini hanya bersifat sementara dan dijangka berakhir dalam masa seminggu lagi, kata Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, Saw Bun Liong.
Beliau berkata keadaan panas ketika ini sehingga menjangkau suhu 36.2 darjah Celcius adalah disebabkan Ribut Tropika Aere yang dikesan di utara Filipina yang meniup angin dari arah Barat Daya ke negara ini.
"Ini menyebabkan kelembapan udara di rantau kita berkurangan dan keadaan ini membawa kepada kurangnya jumlah taburan hujan serta cuaca kering," katanya kepada Bernama.
Namun beliau berkata keadaan cuaca yang panas seperti itu adalah normal dalam bulan Mei dan ia lebih rendah berbanding suhu yang dicatat pada bulan Mei tahun 1998.
"(Pada 1998) di Chuping (suhunya 38.9ËšC), Alor Setar (37.5ËšC), Lubuk Merbau (37.0ËšC), Melaka (38.0ËšC), Batu dan Kuala Krai (38.0ËšC)," katanya.
Saw bekata keadaan panas yang berterusan akan menyebabkan rumput dan tanah menjadi kering dan menjadikan api mudah marak seterusnya boleh menyumbang kepada jerubu.
Beliau menasihatkan orang ramai agar mengelakkan pembakaran secara terbuka dan mengurangkan aktiviti luar yang mendedahkan diri mereka secara terus kepada matahari.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya meminum air dalam kuantiti yang banyak," katanya.
Ramai beli penghawa dingin
Sementara itu, di beberapa kedai elektrik sekitar bandar raya Kuala Lumpur, produk penghawa dingin menjadi pilihan ketika susu panas ini.
Penolong Pengurus Courts Mammoth cawangan Cheras, Abdul Rahim Mohammad berkata dua tiga hari kebelakangan ini, banyak pelanggan yang membeli penghawa dingin.
"Saya tidak dapat memberikan jumlahnya, tetapi memang kami ada dapat banyak tempahan daripada pelanggan," katanya.
Syarikat Sen Heng cawangan Kepong juga mencatat peningkatan penjualan produk itu dalam tempoh seminggu yang lepas.
"Satu minggu saya rasa purata dalam 12 buah. Semalam sahaja empat ke lima buah penghawa dingin terjual. Sebelum ini tidak macam ini, saya rasa ini adalah disebabkan faktor cuaca sekarang," kata jurujual, Mohd Hairani Abdul Wahab.
0 comments:
Post a Comment