Bapanya, Lokman Ahmad berkata, Bob ada menghubungi dan memberitahu mengenai buku berkisarkan perjalanan hidupnya yang mahu diterbitkan.
“Saya menyokong usaha dilakukan penulis yang menjadikan Hakim (Bob) yang sebelum ini bergelar artis tetapi menukar gaya hidup kepada seorang penceramah dan ahli politik.
“Berbanding antara menjadi artis dengan penceramah politik, saya lebih setuju jika Hakim terlibat dalam politik,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya di sini, semalam.
Lokman berkata, buku berkaitan biografi itu memberi gambaran baik kepada Bob di samping memberi kesedaran kepada orang ramai dalam mengharungi hidup terutama bagi mereka bergelar artis.
“Saya suka dia jadi ahli politik daripada artis sebab artis banyak bercampur dengan maksiat, cuma bila jadi ahli politik, dia (Bob) perlu berani, sedikit bohong dan kena pandai bercakap,” katanya.
Lokman yang juga Nazir Dewan Tok Kenali berkata, penyertaan Bob sebagai penceramah politik mengingatkan beliau terhadap bapa saudaranya (bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lundang, Allahyarham Wardi Ahmad).
Menurutnya, Bob memberitahu, buku berkenaan mengisahkan perjalanan hidup Bob semasa menjadi artis dan penulisan buku itu berakhir dengan kesudahan ceritanya sebagai cicit Tok Kenali.
“Sehingga kini beliau belum melihat dan membaca buku yang dikatakan sudah siap diterbitkan dan berada di pasaran,” katanya
0 comments:
Post a Comment