Masalah itu pula bukan baru berlaku sehari, tetapi sudah lebih tiga minggu mereka terpaksa berulang-alik untuk mengangkut air bersih ke blok empat tingkat itu.
Penduduk mendakwa, tekanan air yang terlalu rendah sejak tiga minggu lalu menyebabkan mereka terpaksa menunggu seharian untuk air memenuhi tangki di rumah.
Lebih malang, ada sebahagian penduduk di tingkat empat blok tersebut langsung tidak mendapat bekalan air paip kerana tekanan yang terlalu rendah.
Salah seorang penduduk, Roszaini Jantan, 28, berkata, keadaan itu memaksa dia dan lima anaknya yang masih kecil mandi di koridor rumah.
"Rumah saya di tingkat paling atas dan tekanan air paip yang terlalu rendah menyebabkan saya terpaksa menunggu seharian untuk air memenuhi tangki air.
"Itupun, hanya cukup untuk kegunaan isteri memasak dan membasuh pakaian, manakala saya pula terpaksa menadah air hujan di koridor untuk mandi bersama anak-anak," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, seorang pegawai Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang membuat pemeriksaan semalam memberitahu, tiada masalah pada meter rumah dan mungkin berpunca akibat tekanan air yang terlalu rendah.
Dakwanya lagi, pegawai berkenaan juga memintanya supaya memaklumkan masalah itu kepada pemaju atau Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kerana ia mungkin disebabkan meter utama yang tersumbat.
"Saya amat berharap pihak berkenaan dapat segera membantu kami dan bukannya saling menuding jari sehingga akhirnya rakyat yang menjadi mangsa," katanya.
Seorang lagi penduduk, Koh Swee Keow, 50, berkata, masalah itu menyebabkan dia terpaksa mengambil air daripada paip awam untuk kegunaan seharian.
Menurutnya, dia dan keluarganya juga terpaksa memakai baju yang sama berulang kali selama beberapa hari kerana tidak mendapat bekalan air yang cukup untuk membasuh pakaian.
"Malah, kami juga terpaksa membeli makanan dari luar kerana ketiadaan bekalan air bersih menyukarkan kerja memasak dan membasuh pinggan mangkuk," katanya.
Seorang lagi penduduk, Mokhtar Bujal, 44, berkata, keadaan itu memaksa dia mengangkut dua tong air setiap hari ke rumahnya di tingkat empat blok tersebut
"Rumah saya terletak paling hujung menyebabkan bekalan air langsung tidak sampai sehingga saya terpaksa menghantar pakaian ke kedai dobi," katanya.
Bagi Siti Arzura Othman, 28, dia berharap pihak berkuasa seperti MBMB dan SAMB dapat segera membantu penduduk menyelesaikan masalah tersebut dan bukannya saling menyalahkan antara satu sama lain.
0 comments:
Post a Comment