www.tukartayarbaru.blogspot.com : Email. tukartayarbaru@gmail.com

Wednesday, 1 June 2011

WAKIL RAKYAT DILARANG PROMOSI DIRI ATAU "ANGKAT BAKUL SENDIRI" DI PARLIMEN...... Demam PRU13?

KUALA LUMPUR: Ketika spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun ini semakin hangat, Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara dinasihatkan supaya tidak menjadikan Parlimen sebagai platform "angkat bakul" diri mereka untuk menghadapi pilihan raya.
 
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata semua wakil rakyat sepatutnya menggunakan mandat yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-12 lalu untuk berhujah demi kepentingan rakyat bukannya bercakap sesuka hati demi kepentingan politik diri.

"Sungguh pun mereka mempunyai visi dan misi tersendiri dan hendak menyuarakan pendapat di dewan yang mulia serta bertanggapan bahawa kemungkinan besar pilihan raya ke-13 akan datang, jangan sekali-kali guna kedua-dua Dewan menjadi platform hendak meraih simpati rakyat.

"Jangan menggunakan tindak-tanduk dengan cara hujah yang tidak mendatangkan kebaikan kepada keselamatan dan ketenteraman negara," katanya kepada Bernama dalam satu temubual di pejabatnya di Parlimen di sini hari ini.

Menurut Abu Zahar, semua wakil rakyat tidak kira di Dewan Rakyat atau Senator di Dewan Negara mestilah menghormati kemuliaan dewan berkenaan mengikut etika, Perlembagaan Persekutuan dan peraturan dewan.

"Kalau seseorang itu berhujah dengan bijaksana dan idea yang konkrit, kami alu-alukan, ini yang diharapkan oleh semua rakyat tetapi jangan datang ke dewan yang mulia ini dengan sifat tak tentu arah, bersifat emosional, bersifat perkauman yang boleh menggugat ketenteraman dewan," katanya.

Abu Zahar berkata setiap wakil rakyat juga perlu memegang prinsip ketika mengangkat sumpah yang mengatakan setiap Anggota Parlimen perlu memahami, menghayati dan mendokong Perlembagaan Persekutuan sepanjang menjadi wakil rakyat.

"Dalam lafaz angkat sumpah mereka di hadapan Yang Dipertua kedua-dua Dewan sebelum menjadi wakil rakyat, mereka mesti mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Ini sumpah ikrar yang dibuat oleh semua wakil rakyat sebelum mereka boleh duduk mewakili rakyat di dalam dewan yang mulia ini.

"Saya nak tegaskan di sini, setiap Anggota Dewan Rakyat terutamanya mesti memahami dan jangan mengingkari lafaz ikrar sumpahnya, kalau dia datang ke dewan bercakap tanpa ada batasan, tiada perkara yang baik dan melanggar peraturan, itu sudah melanggar prinsip asas seorang wakil rakyat," katanya.

Dewan Rakyat akan mula bersidang semula pada 13 Jun hingga 28 Jun depan selepas ditangguhkan pada 7 April lalu manakala Dewan Negara akan mula bersidang pada 4 Julai hingga 12 Julai depan selepas ditangguhkan pada 28 April lepas. BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 
There was an error in this gadget

About Me

tukartayarbaru
BERIKHTIAR DAN MENDOAKAN KESEMBUHAN SEMUA
View my complete profile

tukartayarbaru

tukartayarbaru

Malaysiakini

Harakah

Utusan Online

Kosmo Online