www.tukartayarbaru.blogspot.com : Email. tukartayarbaru@gmail.com

Wednesday, 23 November 2011

SIDANG DUN PERAK KECOH LAGI. SPEAKER HARAM JADI PUNCA....!

IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang memasuki hari ketiga Rabu, panas dan kecoh apabila pihak kerajaan dan pembangkang bertegang leher gara-gara wakil rakyat pembangkang menggunakan kata-kata "pelacur politik" dan "katak" semasa perbahasan.



Timbalan Yang Dipertua DUN Datuk Hee Yit Foong yang mempengerusikan persidangan meminta Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis) yang membahaskan Belanjawan 2012 negeri supaya menarik balik kata-kata berkenaan kerana ia menghina golongan wanita termasuk ibu dan nenek kepada wakil pembangkang berkenaan.
 
"Ia menghina (kaum) wanita, tarik balik, kalau tidak saya putuskan jangan berbahas... ibu dan nenek Yang Berhormat juga kaum wanita," katanya pada persidangan DUN di sini.

Namun, Nga enggan menarik kenyataan itu dan berkata beliau tidak menuduh sesiapa dan juga tidak menyebut nama tertentu bagi membayangkan maksud "pelacur politik" dan "katak" itu.

"Adakah saya tuduh sesiapa? Siapa makan cili dia terasa pedas... saya tidak cakap sesiapa tapi kenapa Timbalan Yang Dipertua terasa sangat?" katanya.

Keengganan Nga menarik balik kenyataan itu menyebabkan Datuk Hamidah Osman (BN-Sungai Rapat) dan Dr Wan Nooashikin Wan Noordin (BN-Kampung Gajah) bangun lantas mendesak dengan keras supaya wakil rakyat itu berbuat demikian.

Hee memutuskan persidangan ditangguhkan lima minit seperti dicadangkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan disokong Hamidah untuk menenangkan keadaan.

Penangguhan itu bagaimanapun tidak meredakan keadaan kerana sebaik persidangan bersambung semula, Nga meneruskan perbahasannya serta masih enggan menarik balik kenyataannya walaupun diberi peluang sebanyak tiga kali oleh Hee.

Tan Sri Tajol Rosli Ghazali (BN-Pengkalan Hulu) bangun lalu berkata: "Kami di sebelah sini dengar perkataan yang dikeluarkan iaitu "pelacur politik". Saya mahu bertanya kepada sidang ini adakah perkataan ini dibenarkan di sini? Jika tidak diizinkan ia perlu ditarik balik."


Beliau berkata jika wakil rakyat Pantai Remis tidak mahu tarik balik perkataan itu, Timbalan Yang Dipertua dewan boleh "menghalau" Nga daripada persidangan hari ini dan cadangan itu disokong Jamaluddin Mohd Rdzi (Bebas-Behrang).

Berikutan keengganan Nga menarik balik kata-kata berkenaan, Hee akhirnya mengarahkan Nga keluar dewan kerana menggunakan perkataan menghina serta mencela anggota DUN di samping berkata beliau tidak memberi peluang kepada mereka yang biadap.
Beberapa wakil rakyat pembangkang terutama V.Sivakumar (DAP-Tronoh) bangun membantah keputusan itu dan mendesak Hee yang keluar dewan kerana mengatakan "adakah wakil pembangkang minat pelacur, jika betul saya boleh bawa"

Nga pula kekal ditempatnya enggan mematuhi arahan Hee.

Yang Dipertua Datuk R.Ganesan, yang kemudiannya mengambil alih sesi persidangan menggantikan Hee, berkata Nga telah menimbulkan keadaan haru-biru dengan mengeluarkan perkataan "pelacur politik" serta "katak" malah enggan menarik balik selepas diberi banyak peluang.

Bertindak tegas, Ganesan mengarahkan Nga keluar dewan dan meminta Datuk Hamdi Abu Bakar (BN-Pengkalan Baru) meneruskan sesi perbahasan Belanjawan 2012 negeri menyebabkan wakil pembangkang itu akhirnya akur dengan arahan keluar dewan.

Selain Nga, wakil rakyat pembangkang lain iaitu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Pasir Panjang) dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) turut meninggalkan persidangan sebagai tanda protes terhadap keputusan dewan. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

About Me

tukartayarbaru
BERIKHTIAR DAN MENDOAKAN KESEMBUHAN SEMUA
View my complete profile

tukartayarbaru

tukartayarbaru

Malaysiakini

Harakah

Utusan Online

Kosmo Online