SEREMBAN 18 Mei - Sengketa yang berlarutan antara ahli UMNO akan hanya menyaksikan parti dan orang Melayu berpecah, sekali gus meledakkan kehancuran sebuah bangsa, agama dan negara.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tragedi demikian perlu dielakkan sambil menyeru mereka yang merajuk, kecil hati dan meminggirkan perjuangan UMNO dahulunya agar kembali atas nama penyatuan bangsa Melayu dan memacu negara pada masa hadapan.
''Saya sentiasa berhasrat untuk melihat UMNO akan terus kukuh dan kuat.
''Apa yang telah berlaku, kita ketepikanlah. Marilah kita pandang perjuangan lebih besar menyediakan hamparan baik untuk generasi akan datang khususnya untuk orang Melayu dan kepentingan parti keramat iaitu UMNO," katanya.
Mohamad berkata demikian dalam ucapan semasa mengadakan pertemuan dengan kepimpinan UMNO Bahagian Seremban di Jalan Penghulu Cantik, dekat sini semalam.
Hadir sama, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hasim Rusdi dan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail serta kepimpinan peringkat Wanita, Pemuda, Puteri bahagian berkenaan.
Mohamad yang juga Menteri Besar memberitahu, tiada gunanya menebalkan rasa marah di antara kepimpinan peringkat UMNO bahagian dengan badan perhubungan UMNO negeri atau terhadap dirinya.
''Apa yang lebih penting ketika ini ialah kehadiran saya untuk menghulurkan tangan tanda persahabatan dan mahu bekerjasama dengan kepimpinan UMNO Bahagian Seremban, khususnya dengan Datuk Ishak.
''Marilah kita padamkan apa yang berlaku, jika hendak diikutkan ego dan hati, saya pun ada perasaan yang tidak suka. Namun selepas difikirkan, siapa yang akan rugi kalau bukan orang Melayu sendiri," katanya.
Mohamad berkata, selepas pertemuan ini nanti, UMNO Bahagian Seremban diyakini boleh menjadi pemacu bahagian hadapan dalam memperjuangkan parti UMNO keseluruhannya.
Pada sidang akhbar kemudiannya, Mohamad melahirkan rasa terima kasih kepada Ishak kerana kehadiran jawatankuasa kepimpinan UMNO Bahagian Seremban yang datang dalam suasana cukup mesra.
''Kepimpinan UMNO Bahagian Seremban kini sudah bersedia untuk menggerakkan jentera pada bila-bila masa berhadapan pilihan raya umum akan datang.
''Dengan keyakinan yang diberikan, kita optimis kerusi UMNO yang tewas seperti Ampangan dan Sikamat akan dapat kita rampas kembali pada pilihan raya umum akan datang," katanya.
(Siapa tak kenal Datuk Ishak yang menerajui Umno Seremban, bak kata orang Umno, Seremban itu Ishak dan Ishak itu Umno Seremban. Akhirnya MB Datuk Seri Mohamad Hasan sendiri mencemar duli melawat Umno Seremban dengan niat untuk berbaik-baik semula dengan dengan kumpulan Datuk Ishak. Nampak sangat kelemahan MB sebagai Ketua Perhubungan Umno Negeri, tapi nak wat camana kan, kalau dilawan maka makin keraslah kepala Datuk Ishak yang sememangnya keras dari dulu. Mungkin MB merasakan beralah lebih baik untuk menyelamatkan Umno yang semakin tenat di Negeri Sembilan. Bayangkanlah si MB ini perintah kerajaan negeri tanpa majoriti 2/3. Silap haribula dalam PRU13 Umno dan BN akan jadi pembangkang, tidak mustahil berlaku? Di Seremban pun kerusi DUN Paroi dimenangi oleh PAS dan kerusi DUN Sikamat dimenangi oleh DAP.)
0 comments:
Post a Comment