PETALING JAYA: Penyanyi era 80-an Herman Tino memperoleh wang pertaruhan sebanyak RM10,000 untuk bertanding di kerusi Parlimen Tanjong Karang dekat sini dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) pada5 Mei depan selepas dua rakannya sanggup menggadaikan kereta mereka.
Herman Tino atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, 59, berkata, pengorbanan yang telah dilakukan oleh dua sahabatnya itu telahmenaikkan lagi semangatnya untuk berkempen dan seterusnya memenangi hati penduduk di kawasan tersebut.
"Terus terang saya memang tidak mempunyai wang untuk bertanding tetapi pengorbanan dua sahabat yang sanggup menggadaikan kereta mereka cukup membuatkan saya terharu.
"Selain RM10,000 dibayar sebagai wang taruhan saya juga perlu membayar RM5,000 sebagai deposit bahan untuk berkempen," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Ahad.
Herman Tino yang memegang tiket Bebas bakal menghadapi pertandingan tiga penjuru di kerusi penyandangnya, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (Barisan Nasional) dan Timbalan Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Mohamad Rashdi Deraman, 49.
Penyanyi yang popular dengan lagu 'Yale Yale' dan 'Pelita Dalam Kabus' mendapat pendidikan sehingga tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Haron di sini.
Beliau akan menggunakan lambang bunga raya pada pilihan raya ini.
Dalam pada itu, Herman Tino yang juga suami kepada juruhebah radio popular RTM, Noraini Ibnu berkata, beliau tidak pernah bercita-cita untuk menjadi ahli politik tetapi hatinya terbuka selepas memperolehkeyakinan daripada penyokong-penyokongnya yang percaya dengan kebolehannya membentuk keharmonian di kawasan berkenaan.
Tambahnya, keputusan itu juga dibuat selepas menyangka Noh Omar tidakbertanding bagi mempertahankan kerusi yang telah disandangnya sejak sekian lama.
"Saya tidak tahu Noh Omar kembali bertanding kerana ingatkan Barisan Nasional akan meletakkan muka baru di kerusi tersebut namun keputusan telah dibuat dan saya tidak boleh berpatah balik manakala perjuangan harus diteruskan," katanya.
Mengakui gementar dengan debaran penerimaan masyarakat terhadapnya, Herman Tino berkata, dia membuat keputusan untuk bertanding dalam PRU-13 ini dalam masa 36 jam sebelum penamaan calon dibuka pada Sabtulalu.
Sementara itu dia bakal menampilkan tiga manifesto kepada masyarakat Tanjong Karang iaitu jambatan kasih sayang, perdamaian politik dan jaga harta benda sebagai bahan kempennya.
Katanya, walaupun tidak dapat menjanjikan pembangunan pesat di Tanjong Karang kerana faktor wang tetapi dia yakin dapat membentukmasyarakat yang harmoni menerusi manifesto yang diperkenalkannya itu.
"Saya tidak mewakili mana-mana parti politik tetapi manifesto yang saya tampilkan ini adalah untuk mengajak supaya masyarakat Tanjong Karang tidak taksub dengan politik kerana enggan melihat merekaberpecah belah.
"Saya juga memilih manifesto itu kerana tidak berani untuk menjanjikan pembangunan pesat kepada mereka kerana tidak mempunyai wang sebaliknya yakin mampu mengubah mentaliti masyarakat di situ," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Noh yang berasal dari Parit 2, Sungai Burung, Tanjong Karang menewaskan Mohamed Hanipa Maidin (PAS) dengan majoriti 3,820 undi.
Parlimen itu mempunyai 42,410 pengundi berdaftar dengan pengundi Melayu seramai 31,096 orang, Cina (7,043), India (4,158) dan kaum lain (113).