Inilah namanya seorang pemimpin sejati walaupun pernah dikutuk kerana melakukan kesalahan ketika bersama Umno.
Tetapi alhamdulillah, dengan nyawa masih bersisa di jasad, Allah SWT masih lagi memberi ruang kepada hamba-Nya untuk bertaubat dan membetulkan kesilapan lalu.
Senario ini berlaku kepada seorang bekas pemimpin besar Umno yang sudah pun mengisytiharkan sokongan kepada PAS.
Dan buktinya, kehadiran bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Muhd Taib pada majlis Jamuan Rakyat di Sungai Choh dekat sini, yang diadakan ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-13 berlangsung, mengejutkan banyak pihak.
Kemunculan beliau sekali gus mengesahkan laporan sebelum ini bahawa seorang bekas menteri besar akan menyertai komponen Pakatan Rakyat.
Menurut calon kerusi Parlimen Hulu Selangor, Khalid Jaafar, Muhammad dijangka mengumumkan secara rasmi penyertaan beliau sebagai ahli PAS di ibu pejabat parti itu hari ini.
"Saya melihat pengunjung hampir 2,000 orang yang hadir di majlis Jamuan Rakyat ini terkejut melihat kehadiran bekas Menteri Besar Selangor ini.
"Sambutan diterima cukup hangat daripada penduduk sekitar," katanya semalam.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Persatuan Bengkulu Malaysia yang turut dihadiri Presidennya, Brigadier Jeneral Abdul Hadi Abdul Khatab dan turut hadir ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Choh.
Turut hadir, calon kerusi DUN Batang Kali, Dr K Ramachandran.Muhammad atau lebih dikenali sebagai Mat Taib yang merupakan bekas ADUN Batang Kali dan pernah menang tanpa bertanding sebanyak dua kali di kawasan itu.
"Beliau turut menjulang tangan saya bersama Ramachandran sebagai sokongan terhadap pencalonan kami di kawasan ini.
"Mat Taib turut dijangka menghadiri program bersama Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim pada 2 Mei ini, insya-ALLAH," katanya.
Dalam laman sosial Facebooknya enam jam lalu, Khalid mengatakan:
Jeng jeng jeng. Tan Sri Muhammad Taib tamu mengejut di jamuan rakyat Persatuan Bengkulu di Sungai Choh tengahari tadi lantas memberikan sokongan pada saya
Muhammad merupakan bekas menteri Kabinet dan Naib Presiden Umno.
Menurut Khalid dalam laman sosial itu juga, Muhammad sangat terharu dapat berjumpa semula dengan bekas pengundinya yang sudah mengundi selama empat penggal hingga dilantik menjadi menteri besar pada 1986.
Apa yang menarik perhatian, penyokong Umno yang mengetahui majlis tersebut enggan bertemu dengan Muhammad malah mencemuhnya dengan kata-kata kesat hingga dilabelkan sebagai 'pengkhianat bangsa dan agama'.
Bagaimanapun, Muhammad hanya tersenyum melihatkan gelagat pemuda Umno yang seakan marah dengan keputusannya menyertai dan menyokong calon Pakatan Rakyat di bekas kerusi DUN yang dipegangnya selama empat penggal berturut-turut.
SUMBER : jalan pulang
SUMBER : jalan pulang
0 comments:
Post a Comment