KUALA TERENGGANU: Timbalan Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali tidak menolak kemungkinan Parlimen akan dibubarkan oleh Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak pada petang ini.
Ini kerana, katanya PM telah mengarahkan satu mesyuarat khas tergempar yang melibatkan semua Ahli Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada pagi ini.
Namun, ramai meragui pandangan beliau ini kerana jangkaan mereka pilihan raya tidak lagi akan diadakan dalam masa yang terdekat.
Namun, ekoran sambutan hari pertama IPO FGVH positif, kemungkinan itu tetap ada kerana ramai mengandaikan saham ini akan menjunam jatuh sebagaimana saham Facaebook selepas ini.
Untuk permulaan ini, ia boleh naik dengan sokongan pelbagai jentera kerajaan BN dan bantuan syarikat GLC terhadap IPO ini.
“Pecutan terakhir kita (PKR) menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, tarikh kita belum tahu tetapi nampaknya terlalu dekat.
“Esok (29 Jun) parti kita (PKR) akan mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat, dan pada masa yang sama Perdana Menteri (Najib) juga memanggil satu mesyuarat khas tergempar Dewan Tertinggi Barisan Nasional.
“Hari esok (Jumaat) hari yang sama, tempat berbeza sebab parti berlainan. Sebab kita telah buat perkiraan, jika esok (29 Jun) Majlis Tertinggi BN bermesyuarat pagi, petang dia (PM) boleh bubar Parlimen.
“Sabtu (30 Jun) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) buat mesyuarat, dia terus umum tarikh penamaan calon dan pembuangan undi. Jika dia (BN) buat esok, masih ada kemungkinan (pilihan raya) sebelum Ramadan,” ujar Azmin dalam ceramahnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Sistem Menang Pilihan Raya (Sismep) 3.0 PKR Peringkat Negeri Terengganu, di sebuah hotel, dekat sini, semalam.
Sehubungan itu, katanya Pakatan Rakyat bakal menamatkan kemarau berhubung pertindihan kerusi antara PKR, PAS dan DAP di seluruh negara.
Azmin menyifatkan, jumlah kerusi terbabit terlalu kecil dan yakin perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik selepas beberapa siri rundingan berlangsung sebelum ini.
“Insya’Allah, dalam masa satu minggu atau dua minggu lagi, kita (Pakatan Rakyat) akan bersidang sekali lagi untuk meneliti beberapa kerusi yang masih bertindih dan jumlahnya terlalu kecil untuk kita pertimbangkan,” jelasnya.
Apa yang penting, katanya persiapan yang teratur dan terancang perlu dilakukan bagi menghadapi pilihan raya tersebut.
Menurutnya, semua pimpinan PKR Terengganu mesti memberikan tumpuan dan fokus lebih bersungguh di peringkat Cabang, Ranting serta dareah mengundi.
“Insya’Allah, dengan persiapan ini kita (PKR) akan lebih teratur dan terancang menghadapi pilihan raya yang ke-13. Saya berharap pimpinan-pimpinan di negeri Terengganu memberikan tumpuan dan fokus khususnya di peringkat Cabang, Ranting dan daerah mengundi.
Sementara itu, dakwaan pihak tertentu mengenai hubungan dingin beliau dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Gombak tersebut menafikan desas-desus berkenaan yang sengaja diperbesar-besarkan media.
“Baru hari Ahad lepas, Tan Sri Khalid memilih untuk turun ke Batu Caves dalam Parlimen Gombak. Saya selaku Ahli Parlimen, selaku Ketua Cabang menyambut dan meraikan kehadiran Tan Sri Khalid.
“Utusan (Malaysia) tidak melaporkan, TV3 tidak melaporkan. Jadi hubungan saya dengan Tan Sri Khalid baik, tak ada masalah” ujarnya.
Sehubungan itu, Azmin turut mengakui bukan mudah untuk memimpin negeri ini yang hingga kini, telah 12 orang pernah jadi Pengerusi PKR di negeri Terengganu.
Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Terengganu, Azan Ismail.
0 comments:
Post a Comment