Pergerakan Wanita Umno di kawasan yang dikuasai bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi kumpulan pertama dari Pulau Pinang yang menyokong pelaksanaan hukum hudud di negara ini.
Ketua wanita Umno Kepala Batas, Zabariah Wahab dilaporkan berkata, usul yang dibawanya itu diluluskan sebulat suara dalam mesyuarat perwakilan pergerakan wanita bahagian tersebut pada Sabtu lalu.
Beliau dipetik akhbar Sinar Harian sebagai berkata, usul menyokong pelaksanaan hukum hudud itu akan dibawa dalam persidangan perwakilan bahagian tersebut.
"Usul ini juga akan dipanjangkan kepada kepimpinan Wanita Umno Malaysia dan negeri untuk rujukan dan tindakan lanjut," katanya seperti dipetik akhbar tersebut.
ADUN Bertam, Pulau Pinang itu membawa usul berkenaan dalam mesyuarat Sabtu lalu "kerana memikirkan kepentingan dan kebaikannya kepada umat Islam di negarai ini."
"Tidak timbul hudud PAS atau hudud Umno. Hukum Allah Hanya satu dan semua orang perlu patuh, bagaimanapun nampaknya sekarang ini ia cuba diputar belit dan dipolitikkan oleh pihak tertentu untuk dijadikan modal politik," katanya lagi.
Cadangan untuk melaksana hukum hudud itu pada awalnya ditimbulkan akhir bulan lalu oleh ADUN Kemelah (Johor) Datuk Ayub Rahmat yang mahu negeri itu melaksanakan hudud ke atas orang Islam dan juga bukan Islam.
Cadangan tersebut dialu-alukan PAS, walau menerima tentangankeras MCA yang menyifatkan Ayub hilang akal kerana menimbulkan perkara itu.
Cadangan itu turut menerima sokongan secara peribadi oleh timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang berkata Malaysia masih kekurangan prasaran untuk melaksana undang-undang Islam itu.
http://www.malaysiakini.com/news/203284
0 comments:
Post a Comment