www.tukartayarbaru.blogspot.com : Email. tukartayarbaru@gmail.com

Tuesday, 2 August 2011

EKSKLUSIF....NAJIB AKAN DISINGKIR SEBELUM PRU13 UNTUK SELAMATKAN UMNO DAN BN YANG SEMAKIN NAZAK

Najib kini sudah kehilangan jendela atau ‘window’ paling strategiknya. Sebaliknya, tidak keterlaluan kalau penulis nyatakan bahawa Najib mungkin sahaja akan kehilangan peluang untuk memimpin dalam perang PRU k-13 ini! Maksudnya, penulis meramalkan Najib akan disingkir sebagai Presiden Umno sekaligus Pengerusi BN sebelum PRU ke-13,.Begitu sekali? Ya, demi menyelamatkan Umno-BN, Najib akan bakal diketepikan. 

Sejarah akan berulang. Tun terpaksa diketepikan Umno untuk menyelamatkan parti Melayu itu, sebab telah menjadi ‘liabiliti’ terbesar perjuangan parti mereka. Ternyata strategi itu berbisa dan mengena. Pak Lah menang besar dalam PRU ke-11, April, 2004 itu, bahkan antara terbesar dalam sejarah politik pilihanraya Umno.

Kini Umno sedang menghitung opsyen atau pilihan strategik yang sama. Bezanya Tun diketepikan setelah terlalu lama memimpin; 22 tahun. Najib baru sahaja masuk tahun ketiganya. Najib pun belum pernah menang pilihanraya umum yang dikemudinya sendiri. Besar harapan Najib untuk membuktikan kepemimpinannya.

Mungkin sahaja itu akan tinggal cita-cita. Dia semacam akan tersungkur di garis permulaan tampaknya. Dia sedang menemui ‘ su’ul khatimah’ atau ‘kesudahan buruk’ dalam kerjaya politiknya. Bagi seorang ahli politik tambahan calon negarawan, kesudahan seperti itu amat mengaibkan dan mengerikan sekali.

Mengapa Umno terpaksa singkirkan Najib?

Sebabnya banyak dan terus menonjol. Pendeknya (bukan ‘pendek kata’), Najib telah menjadi ‘liabiliti paling besar’ buat Umno diambang PRU ke-13 ini. Dia telah menjadi seumpama Tun dalam masa yang jauh lebih singkat. Bagi sebuah parti, yang penting ialah survival atau kesinambungan hidup parti untuk terus berkuasa. Pemimpin boleh datang dan pergi. Tak ada siapa yang akan kekal. Tapi parti dan ‘perjuangan’ mesti dipertahankan, walau apapun.

Mungkin  ‘mantra’ atau ‘maxim’ ini umum dan berkuatkuasa untuk semua. Tempoh tiga tahun ini menyaksikan Najib berusaha keras membuktikan bahawa beliau punya wibawa dan wawasan. Beliau tidak lengah untuk meyakinkan rakyat dan pengundi. Tahap sokongan atau ‘approval rating’ beliau, mengikut dapatan beberapa pusat kajian polls, menunjukkan peningkatan pada peringkat awalnya menjadi PM. Najib telah cuba buktikan bahawa beliau peka kepada soalan ‘pandangan awam’ atau ‘public opinion’ sehingga sanggup mengungkpakan bahawa ‘Era kerajaan tahu semua telah berlalu”. Ketika itu kononnya beliau sanggup mendengar rakyat.

Najib cuba perbaikki imej partinya yang tercalar kerana terlalu angkuh pra PRU ke-12 dengan mantranya “Rakyat di dahulukan dan prestasi diutamakan’. Kesemua itu adalah cubaan gigih Najib untuk baikpulih ‘persepsi’ terhadap partinya. Najib juga cuba mendekati dan melayani warga ‘netizen’ dan golongan muda dalam media baru- facebook dan twitter dan berinteraksi secara maya dan ‘engaged’ secara langsung juga dengan mereka.

Justeru, tidak hairan Najib masih boleh memenangi beberapa pilihanraya kecil sehingga keputusan mutakhir terikat pada kedudukan seri 8-8 sejak selepas PRU ke-12.

Namun amat malang bagi Najib, semakin ghairah beliau membuktikan kepimpinannya, semakin menyerlahkan kelemahan sebenar dirinya, samada pada rakyat atau pengundi dan lebih parah lagi kepada pendukung setia dan ‘warlords’ partinya sendiri, Umno.

Mutakhir ini, ‘tahap sokongan’ atau ‘approval  rating’ terus merosot berbanding sedikit waktu dahulu. Tiga tahun adalah lama dalam politik. Pelbagai pergolakan politik nasional, pertentangan agama dan pertelingkahan atas garis ras atau kaum, kemelut rasuah, ketirisan serta kebocoron dalam pengurusan kewangan dan pembangunan Negara, semua menyerlahkan kepemimpinan Najib sebenarnya. Najib seharusnya sedar, tetapi beliau tidak begitu. Beliau semacam dirasuk sindrom penafian.

Samada isu nama Allah, isu kepala lembu atau babi hutan. serangan terhadap rumah ibadat, Interlok, PPSMI, GMI, rampasan negeri Perak dan pelbagai lagi perilakunya dalam beberapa PRK khususnya di Sibu, Serawak dan Hulu Selangor, telah pun menyelak hakikat sebenar ‘dirinya’. Beliau ‘reckless’ atau tidak punya ‘jatidiri politik’ yang wajar disanjungi seumpama bapanya, seorang negarawan.

Sebaliknya kata-kata tidak cermat, seperti ‘you help me dan I help u’ memperkuhkan pelbagai amalan buruk dalam rasuah politik pilihanraya. Memberi kedudukan tinggi orang yang sabit rasuah sementara dia mahu perang rasuah. Dia sinonim dengan tabiat flip-flop, satu ciri yang tidak membuktikan ketegasan. Beliau hanya mahu ‘sokongan’ semua.

Kini Najib berdepan pelbagai ujian getir. Rakyat dan pengundi terus menilai sementara partinya terus cemas serta rimas dengan prestasi Najib dan mutakhir ini gelagat buruk dan perilaku ‘first ladynya’ . Ia memburukkan lagi peluang Najib. Berbelanja besar dan ‘taste’ atau selera hyper-mewah berlawanan dengan anjuran menyuruh rakyat bercermat. RM4.5 juta menganjur Persidangan Wanita Pertama Dunia yang dihadiri 14 wanita pertama kebanyakan dari Negara Afrika bukan satu yang wajar dalam 13 tahun bajet defisit yang ditanggung kerajaan BN.

Beg tangan, gelang tangan mewah dan cincin belian didakwa RM24 juta yang ada hubungkait dengan FLOM itu amat tidak disenangi rakyat yang dianjurkan berjimat dalam mendepani himpitan kos saran hidup yang tinggi. Perbelanjaan besar rumah kediaman PM dan TPM juga dipandang cukup jelek oleh rakyat. Pertikaian pelbagai pihak tentang  ‘entourage’ keluar Negara seperti urusan  pra-pertunangan di Kazakhstan masih menantikan pertanggungjawaban secara telus dan amanah.

Najib kini kehilangan ’goodwill’nya atau ‘sangka baik’ dan ‘hormat’ rakyat pada dirinya. Ini petanda buruk  bagi seorang pemimpin, khususnya ketua sesebuah kerajaan.

Bersih 2.0 pula  terus menyerlahkan kepimpinan buruk Najib dan kegagalan beliau menangani cabaran Politik Baru. Kini rakyat-pengundi yang  mengalami pencerahaan minda dan kemerdekaan jiwa serta punya keberanian menyatakan segala yang salah yang dilakukan orang politik dan parti-parti politik samada kerajaan atau pembangkang.

Najib gagal mendepani tuntutan dan melayani desakan masyarakat sivil sekaligus meletakkan persepsi negatif terhadap diri dan kerajaannya yang semacam mahu terus melindungi yang ‘kotor’ dalam sistem pilihanraya. Ini termasuk hal kekotoran dalam daftar pemilih dan mengundi lebih sekali. Isu dakwat kekal lawan kaedah biometric akan terus menjadi polimik tajam. Najib gagal menangani isu semudah ini. Ataukah beliau mahu menyerlahkan niat jahat kerajaannya?

Kezaliman dan tindakan ganas pihak PDRM terhadap peserta Bersih 2.0 satu hal yang menunjukkan bahawa Najib dan menteri-menteri gagal memahami bagaimana mendahulukan rakyat dan faham bahawa ‘era kerajaan tahu semua sudah berlalu’. Najib mendapat liputan buruk media dalam dan luar Negara, termasuk kritikan dari pimpinan politik dalam partinya seperti Saifudin Abdullah dan Khairy Jamaludin., Kedua-dua tokoh pemimpin muda Umno. Mungkin ramai yang takut bersuara.

Tidak pernah disaksikan betapa masyarakat ‘netizen’ media sosial memarahi pemimpin parti politik seteruk kali ini. Tetapi dengan Najib ini, selepas Bersih 2.0, lebih 200,000 warga sebuah facebook menuntut Najib berundur segera. Ini cukup menyiksakan seorang pemimpin! Paranoia atau kegilaan pentadbiran Najib terhadap warna ‘Kuning’ sudah sampai ke peringkat satu ‘disorder’ atau ‘kecelaruan’ pemikiran yang patologik. Ramai yang menjadi mangsa ‘xanthophobia’ ini.

Semacam tidak memahami realiti akar umbi, Najib terus membuka pelbagai ‘front’ memerangi rakyat-pengundi yang sepatutnya dimenangi hati-budi mereka. Umno-BN terus memerhatikan Najib yang bertindak ‘sumbang’ mungkin dengan nasihat pelbagai firma ‘consulting’nya termasuk APCO, yang tidak tahu waqi’ atau realiti politik Negara dan salur-galur psiki orang Melayu, kaum Cina-India dan ratusan etnik dari sabah dan Sarawak.

Najib wajar melebarkan lingkungan kawan dan memperkcilkan daerah lawan. Perilakunya mencetuskan kesan sebaliknya. Najib tidak tahu bahawa beliau punya musuh dalam selimut. Najib melalui sepupunya Hishamuddin menahan 6 pemimpin Parti Sosialis Malaysia, yang hari ini dinobat sebagai PSM06 atau EO6. Dr Jeyakumar, MP Sg Siput yang juga ditangkap telah memulakan mogok laparnya. Atas tekanan rakyat, penulis meramalkan mereka akan di bebaskan. (Telah pun). Menteri Sumber Manusia dari MIC dan Presiden terpaksa mengkritik dan ‘broke-rank’ lantas mengecam kerajaan Najib atas tahanan di bawah Ordinan Dharurat 1960.

Semacam tidak cukup menimbulkan musuh dan tentangan terhadap kerajaannya, Najib mengizinkan mantan Mufti Perlis dan kelompok ‘ulama muda Umno’ dilabel sebagai Wahhabis dan sekaligus dicap sebagai ‘terroris’. Golongan yang beriya-iya membela Umno ini juga dimusuhi pentadbiran Najib. Ini tentunya akan mencetuskan amarah rakyat Melayu-Islam, yang pelik dan sangsi dengan apa tujuan disebalik semua tindakan ini.

Front perang antarabangsa juga dibuka oleh Najib ketika secara ‘terdesak’ mengambil tindakan menahan lantas ‘mendeport’ William Bourdon, peguam hak asasi manusia yang menjadi peguam sebuah NGO, Suara Rakyat Malaysia, SUARAM, yang mengangkat pendakwaan rasuah dalam perolehan kapal selam Scorpene di Mahkamah Perancis.

Peguam yang datang untuk berucap dalam program ‘fund raising’ Suaram bagi membiayai kes perbicaraan terhadap dakwaan rasuah syarikat Perancis DCNS yang membekalkan kerajaan Malaysia kapal selam scorpene, akhirnya dihantar pulang setelah didakwa melanggari peraturan visa kemasukannya. Sekali lagi rakyat dan dunia memerhatikan apa pulak yang cuba dilindungi Najib kali ini. Kes akan didengari di Mahkamah Perancis pada bulan September tahun ini.

Bermakna Najib kini terpaksa berdepan dengan risiko besar dengan apa yang bakal didedahkan siasatan peguam Suaram ini. Mampukah Najib mengangkis persepsi buruk ini, jika sebutan itu membabitkan orang kepercayaannya? Mampukah Umno menerima dampak buruknya seandai dapat di dedahkan Willaim Bourdon nanti skandal perolehan scorpene tentang siapa antara penerima RM540 juta itu?

Najib terus ditimpa nasib malang kerana mantra keramat “1-Malaysia” nya pada awalnya adalah memenangi pengundi kaum Cina dan India yang telah menyokong pembangkang. Ini pendekatan ‘inklusif’ atau ‘keterangkuman’nya. Sedari awal mantra ini kurang disenangi oleh partinya sendiri. Ia dilihat terlalu lunak kepada kaum bukan-Melayu. Mahyuddin sedari awal telah menyanggah dengan beliau bertegas dia Melayu dulu ‘Malay first’ sesuai dengan slogan ‘Hidup Melayu’ dan ‘Ketuanan Melayu’ yang didukungi Umno sejak azali.

Pelbagai pendekatan ‘inklusif’ Najib tidak di’kongsi’ oleh partinya dan Perkasa digunakan oleh ‘warlords’ Umno seperti Tun Malhathir untuk membantah segala program Najib termasuk agihan projek MRT dan pelbagai lagi yang dilihat terlalu “1-Malaysia”. Seawalnya Perkasa mahu mengheret Najib sebagai bertindak bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 153 dsbnya.

Kini Najib bukan sahaja dilihat gagal membaikpulih ekonomi dengan segala program transformasinya bermula NKRA, NKEA, SRI, Model Ekonomi Baru (NEM), ETP dan EPP, tetapi ditanggapi ‘warlord’ partinya sendiri sebagai menghakis ‘penguasaan politik’ dan ‘kedudukan ekonomi’ orang Melayu. Penubuhan Teraju, penghapusan Suruhanjaya Peluang Saksama (EOC) dan pelbagai tindakan bolak-balik dan ‘patah-balik’ tidak dapat merawat ‘kemarahan warlords’ partinya sendiri. Model Ekonomi Barunya (NEM) terpaksa ditenggelamkan akibat serangan partinya sendiri. Hakikat tentangan dari dalam ini tidak mudah Najib tangani. Ia lebih menusuk jiwanya dari serangan Pakatan Rakyat dan masyarakat sivil. Tegasnya, cita-cita transformasi ekonomi pasti akan menemui kegagalan kalau ia tidak didahulukan dengan reformasi. Reformasi telah menjadi satu perkataan ‘lucah’ atau ‘bad word’ buat Umno dan Najib. Najib tersepit dan digigit dek partinya sendiri.

Mutakhir ini dan sedikit berlain adalah penubuhan Angkatan Amanah Rakyat (Amanah) oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan kawan-kawanya. Ia tidak boleh dipandang mudah oleh Najib. Mereka bukan parti pembangkang dan bukan juga 62 NGOs yang menubuhkan Bersih 2.0. Mereka adalah ahli Umno dan BN, sebahagian besar adalah pemimpin atau mantan pemimpin Umno-BN dan berjawatan dalam kerajaan seperti Kadir Sheikh Fadzil, Syed Hamid Albar, Osu Sukam dan dari MCA seperti Ong Tee Keat. Penentangan mereka adalah atas dasar menentang “korupsi, kronisme dan krisis perkauman” yang membarah dan endemik  dalam Umno dan BN.

Mereka juga mahu menjadi kuasa ketiga dan sanggup menentang Najib. Apakah mereka bersedia untuk bersama Pakatan dalam satu “Grand Coalition” untuk menjatuhkan kuasa Najib dan Umno-BN? Apakah ‘game-plan’ atau strategi Ku Li. Tidak jelas sehingga kini. Yang jelasnya mereka sangat marah kepada Najib yang dilhat gagal mengeluarkan Negara dari segala macam krisis yang mereka juga adalah sebahagian darinya satu masa dahulu.

Di persimpangan kritikal ini, Najib semacam keseorangan. Yang jelasnya menyokongnya ialah Rosmah. Kalau cepat dilakukan PRU ke-13, ramai yang mahu terus bertanding akan terus terpaksa bersamanya. Sebabnya dalam tradisi Umno, Presiden menentukan calon-calon. Tetapi kalau lambat, tak siapa pun takut dan segan kepada Najib. Dan masa tidak menyebelahinya. Kalau mahu tunggu lepas Bajet, yakni bulan Oktober-November, skandal Scorpene menghantuinya. Kalau mahu tunggu tahun depan Mac-April, pemilihan partinya menjadi Najib lebih gusar dan gundah gulana.

Di persimpangan ini, kombinasi fraksi 3-M – Mahyuddin, Mukhriz dan Mahathir, dikatakan tidak akan duduk sahaja untuk menyaksikan partinya mereka punah kerana gelagat Najib-Rosmah. Usaha Najib mengembalikan sokongan kaum Cina-India disaksikan sebagai gagal. Umno mungkin sahaja memikirkan supaya jangan buang masa dengan kelompok kaum ini.

Apakah Mahyudin-Mukhriz-Mahathir akan merancang manjtauhkan Najib bagi mempastikan Umno berpeluang untuk terus menguasai kepimpinan Negara? Mampukah fraksi 3-M ini mengekalkan sokongan kaum Cina dan India yang cuba dimenangi Najib? Tentunya tidak. Mampukah Umno bertahan dengan hanya sokongan Melayu yang juga terbelah dua?  Apakah mereka ini disokong fraksi Amanah Ku Li?

Umno jelas di kedudukan yang paling kritikal sejak pasca PRUke-12. Mereka masih belum mendapat sentuhan strategi keramat lagi. Apakah Najib-Rosmah akan terpaksa dikambinghitamkan bagi memberi laluan kepada parti Melayu tertua di dunia ini untuk terus berkuasa?

Jelasnya, Najib akan terus mencari talian hayatnya untuk kekal bernafas di Putrajaya.

Dr. Dzulkefly Ahmad  
www.harakahdaily.net

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

About Me

tukartayarbaru
BERIKHTIAR DAN MENDOAKAN KESEMBUHAN SEMUA
View my complete profile

tukartayarbaru

tukartayarbaru

Malaysiakini

Harakah

Utusan Online

Kosmo Online