KUALA LUMPUR, 28 Jun: Datuk Seri Najib Razak diminta membuktikan beliau dan Umno benar-benar anak jantan di dalam pilihan raya umum akan datang.
“Pembangkang sudah lama bertarung secara jantan, masalahnya bila pula Umno dan BN hendak bertukar menjadi anak jantan,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Sebenarnya, kata beliau Umno BN sudah tidak ada roh perjuangan, ia hanya hidup dengan talian hayat jentera kerajaan.
“Jantan sangatkah Umno dalam pilihan raya, jika kaki dan tangan pembangkang diikat kemudian disuruh berenang,” katanya.
Soalnya, macam mana hendak menjadi jantan jika BN menggunakan segala kekuatan media dan polis untuk menyekat maklumat supaya sampai kepada rakyat.
“Suara Keadilan digantung permit, kartun Zunar dirampas, ceramah dikepong, pakai baju kuning ditangkap, apakah ini dikatakan anak jantan?” katanya.
Katanya, jika benar Najib anak jantan sila bertarung di padang sama rata.
Tambahnya, biarlah parti melawan parti, bukannya menggunakan jentera kerajaan melawan pembangkang.
Justeru, beliau menyeru supaya dihapuskan undi pos, biar media perdana adil, menggunakan dakwat untuk elak penggundi berulang.
“Kalau perkara ini Najib tidak mampu membuat reform janganlah beliau mendakwa Umno anak jantan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment