www.tukartayarbaru.blogspot.com : Email. tukartayarbaru@gmail.com

Saturday, 20 April 2013

PROSES PENAMAAN CALON PRU13 BERJALAN LANCAR


KUALA LUMPUR - Pusat penamaan calon dibuka di seluruh negara pukul 9 pagi ini untuk bakal calon mengemukakan kertas pencalonan mereka bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Terdapat 222 pusat penamaan calon disediakan untuk menerima kertas pencalonan bagi merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi dewan undangan negeri (Dun).

Pengundian biasa ditetapkan 5 Mei manakala pengundian awal ialah 30 April. Terdapat sejumlah 13,268,002 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu 275,341 adalah pengundi awal dan 12,992,661 pengundi biasa.

Proses penamaan calon bermula dari 9 hingga 10 pagi dengan penyerahan kertas pencalonan, borang perakuan berkanun serta deposit RM10,000 untuk bertanding di kerusi parlimen dan RM5,000 untuk kerusi Dun.

Pegawai pengurus pilihan raya akan menyemak setiap kertas pencalonan yang diterima dan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding sebaik semua urusan semakan selesai.
    
Untuk PRU13, buat pertama kalinya tidak ada tempoh bantahan selama sejam dan penarikan balik pencalonan, sesuai dengan peraturan 9, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan)(No.2) 2012 yang berkuat kuasa 27 April 2012.

Sehubungan itu, proses penamaan calon pada pilihan raya kali ini dijangka dapat diselesaikan lebih awal kerana langkah itu memudahkan lagi proses penamaan calon tanpa melibatkan bantahan yang tidak munasabah.

Pusat-pusat penamaan calon ditetapkan di pejabat-pejabat daerah, majlis perbandaran, majlis daerah, dewan orang ramai dan bangunan sekolah.

Jabatan Meteorologi menerusi laman webnya meramalkan hujan pada sebelah pagi di kawasan pantai Labuan, Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Sabah manakala ribut petir di satu dua tempat di Perak dan Sarawak.

Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor pula diramal mendung manakala cuaca di Kuala Lumpur, Perlis, Putrajaya, Kelantan dan Terengganu diramal tiada hujan pada sebelah pagi.

SPR menetapkan tempoh berkempen ialah 15 hari, bermula sebaik selesai proses penamaan calon. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

About Me

tukartayarbaru
BERIKHTIAR DAN MENDOAKAN KESEMBUHAN SEMUA
View my complete profile

tukartayarbaru

tukartayarbaru

Malaysiakini

Harakah

Utusan Online

Kosmo Online