www.tukartayarbaru.blogspot.com : Email. tukartayarbaru@gmail.com

Tuesday 26 July 2011

AWAS..!. WARGA EMAS F.JENGKA 18 DIPUKAU BELI BATU PERMATA PALSU BERNILAI RM67,800.00.


TIDAK sukar untuk menjejaki rumah peneroka berusia 78 tahun ini di Felda Seroja 18 di Jengka, Pahang.

Nasib menyebelahi wartawan Mingguan mStar kerana sewaktu tiba di rumahnya, dia baru sahaja pulang dari Chenor yang terletak lebih kurang 5 kilometer.

Riak wajahnya begitu ceria dalam pertemuan pada petang itu dan dia sedikit pun tidak membayangkan sejarah hitam yang berlaku dirinya apabila pernah ditipu melalui pukau.
Ternyata penipuan melalui pukau tidak mengenal mangsa dan Mohamed Awang Da merupakan salah seorang daripadanya .

Dalam keadaan separuh sedar, dia kehilangan RM67,800 dalam tempoh singkat. Semuanya bermula sejak pertemuan dengan seorang lelaki yang sehingga ke hari ini tidak diketahui namanya pada pagi 18 April lalu di Temerloh, Pahang.

Boleh cerita bagaimana bermula?

Mohamed Awang Da: Tak ingat sangat. Masa tu keluar ke kedai membeli barang di Temerloh. Tapi saya tahu dia muda, usia hampir 30 tahun. Dia tegur saya berhampiran dengan Bangunan Tabung Haji di Temerloh. Dia tanya tentang Haji Husin. Budak itu tak beritahu nama dia. Saya pula entah bagaimana tak bertanya pula.

Reaksi Pak Mat?

Saya tanya siapa Haji Husin dan tinggal di mana. Dia cuma beritahu Haji Husin menetap di Temerloh. Saya beritahu yang saya tinggal di Jengka. Saya tak kenal (Haji Husin).

Selepas itu apa jadi?

Tiba-tiba selepas itu ada orang lalu dekat dengan kami berdua. Budak tu panggil orang tu. Nama dia Haji Mat Saad, dah tua tetapi lebih muda daripada saya. Dalam lingkungan 50-an. Haji Mat Saad pun ditanya kenal Haji Husin atau tidak. Tapi jawapannya tak kenal.

Kenapa cari Haji Husin?

 
 
Batu permata akan bersinar apabila direndam dalam air.
 
Budak tu beritahu dia dapat satu barang dari dalam tanah. Haji Husin mungkin adalah orang yang tahu tentang kegunaan dan keistimewaan barang tersebut. Haji Mat Saad kemudian tanya dia tentang barang itu dan minta agar ditunjukkan kepada kami.

Pak Mat dengar saja?

Saya dah nak balik. Tapi dia tahan (tidak benarkan balik). Saya ikut saja. Haji Mat Saad beritahu barang tersebut berharga. Tidak lama kemudian Haji Mat Saad berkata adiknya mungkin mahu beli sebab adiknya seorang ahli perniagaan, ada banyak wang.

Barang apa?

Seperti batu permata, warna merah. Budak tu keluarkannya dari kotak celak yang dibeli dari Mekah. Katanya, batu permata itu sangat istimewa. Haji Mat Saad tanya harga, dia jawab RM100,000. Haji Mat Saad kata adiknya mampu beli dengan harga RM200,000.
Pak Mat tak beli?

Saya tak minat. Tak tahu nak guna untuk buat apa. Tapi katanya bila (batu permata) direndam di dalam air, warna merahnya bernyala seperti bercahaya. Haji Mat Saad tanya kenapa tak jual saja. Budak itu menjawab ia bukan untuk dijual tapi lebih kepada derma. Hasilnya (derma) akan disumbangkan kepada rumah anak yatim dan rumah orang tua.

Tak cuba nak balik?

Budak tu masih tahan saya, tidak boleh balik. Haji Mat Saad ada beritahu adiknya di Hospital Temerloh kerana melawat makcik. Saya entah bagaimana tawarkan Haji Mat Saad untuk menghantarnya ke hospital. Haji Mat Saad setuju. Budak itu pun ikut kami.

Budak itu mahu jual pada siapa?

Di dalam kereta, budak tu beritahu tentang batu permata tu hendak dijual dengan orang yang pertama dijumpainya tadi. Sayalah orang itu. Tapi saya memang tak nak beli. Saya memang tak pandai guna benda tu. Saya bukannya ada duit. Bukannya berniaga.
Apa yang Pak Mat fikir?
Seronok juga dengar cerita mereka. Nak lihat bagaimana urus niaga jual batu permata, sama ada berjaya atau tidak. Sambil mendengar cerita, saya memandu saja tapi tak sampai ke hospital sebab Haji Mat Saad minta berhenti di Pasar Raya Terus Maju.
Kenapa?
Adik Haji Mat Saad nak jumpa di situ. Namanya Haji Osman. Memang nampak macam orang kaya. Dia pakai ‘smart’ dan memang bergaya. Siap bawa ‘briefcase’ (beg bimbit). Dia pun masuk ke dalam kereta saya dan berbual dengan budak itu dan Haji Mat Saad.

Pak Mat pelawa Haji Osman masuk kereta?

 
Sehingga kini Awang tidak nampak keistimewaan batu permata 
yang diserahkan oleh lelaki tidak dikenali.
 
Dia sendiri yang masuk. Kalau saya suruh dia dan yang lain keluar nanti dikata apa pula. Tak kan nak halau. Saya macam berat nak kata apa-apa. Haji Osman pelawa budak itu datang ke rumah sebab nak ambil duit. Budak itu tak mahu sebab hendak serahkan juga barang tu kepada saya berdasarkan amanat dalam mimpi. Tapi saya memang tak nak.

Lepas tu apa berlaku?

Selepas itu Haji Osman minta saya dahulukan duit untuk dapatkan batu permata. Saya turutkan saja, tidak pula membantah. Saya diarah pulang ke rumah di Jengka 18 untuk mengambil buku akaun bagi mengeluarkan wang di Temerloh. Wang tunai sebanyak RM2,800 yang ada pada saya diserahkan kepada mereka terlebih dahulu.

Ada sesiapa di rumah? 

Isteri saya. Tapi saya pulang sekejap saja ambil buku akaun dalam bilik tidur. Tak cakap apa-apa pun dengan dia (isteri). Sekejap saja di rumah. Haji Mat Saad seorang saja ikut ke rumah. Lain-lain tunggu di Pasar Raya Terus Maju.

Pak Mat pergi ambil mereka yang lain?

Tak. Haji Osman suruh saya terus pergi keluarkan wang di Temerloh. Saya turutkan saja. Saya keluarkan wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak RM52,000 dan RM13,000 daripada Bank Rakyat. Lepas tu saya serahkan semua wang kepada Haji Osman dan kemudian dia beri saya batu permata. Ketika itu tak terfikir macam mana batu permata itu ada pada dia sebab ia milik budak yang mula-mula saya jumpa.

Pak Mat tak syak apa-apa?

Saya tak nampak mereka macam orang jahat. Tapi lepas terkena (tertipu), saya rasa mereka bertiga satu geng. Agaknya, Haji Osman tu bukan adik Haji Mat Saad. Masing-masing memang rancang nak kenakan saya. Mereka nampak saja baik tapi ada muslihat.

Bila Pak Mat rasa tertipu?

Bila Haji Osman sepatutnya hendak datang ke rumah esoknya untuk pulangkan duit yang dipinjam. Katanya, nak datang sekitar pukul 10 pagi. Tapi sampai ke pukul 1 tengah hari tak muncul-muncul. Saya cuba hubungi dia banyak kali. Tapi tak dapat, nombor telefon palsu. Baru rasa ditipu. Lepas tu saya ceritakan perkara yang berlaku kepada isteri sebelum membuat laporan di Balai Polis Temerloh.

Habis semua wang simpanan Pak Mat?

Tak. Masih ada lagi. Dia (Haji Osman) mahu pinjam sebanyak itu saja (RM67,800). Saya tak fikir langsung tentang apa-apa. Ikut saja kemahuan dia. Saya macam jadi bodoh saja. Tak tahu nak kata apa. Rasa marah tu ada juga tapi sudah bukan rezeki saya.

Bagaimana selepas laporan yang dibuat kepada pihak polis?

Tiada apa-apa perkembangan. Saya hanya diberitahu kes tersebut akan disiasat. Saya tahu wang yang hilang tidak akan dikembalikan. Cuma apa yang diharapkan mereka yang memperdayakan saya itu akan tertangkap atau sekurang-kurangnya menerima balasan.

Lesap RM67,800 kerana ‘permata’

> Pak Mat yang masih menyimpan batu permata tersebut telah menunjukkannya kepada wartawan Mingguan mStar di rumahnya.
> Batu tersebut didapati bersinar apabila Pak Mat merendamkannya dalam air.
> Apabila dikeluarkan dari rendaman, objek tersebut masih bersinar beberapa saat sebelum terpadam.
> Sehingga kini Pak Mat tidak tahu kegunaan batu permata.
> Ia hanya dijadikan bahan tontonan rakan-rakan dan penduduk kampung yang mengetahui kisah Pak Mat dipukau.
> Disebabkan objek itu Pak Mat kerugian sebanyak RM67,800.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

About Me

tukartayarbaru
BERIKHTIAR DAN MENDOAKAN KESEMBUHAN SEMUA
View my complete profile

tukartayarbaru

tukartayarbaru

Malaysiakini

Harakah

Utusan Online

Kosmo Online