www.tukartayarbaru.blogspot.com : Email. tukartayarbaru@gmail.com

Tuesday 17 May 2011

MEMARTABATKAN PROFESION PERGURUAN. SELAMAT HARI GURU 2011

Sesungguhnya, jasa mereka yang begitu besar, budi mereka yang ditabur serta khidmat bakti mereka kepada negara tidak mungkin akan dapat diimbal dengan seadilnya. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberikan ganjaran setimpal.

Hakikatnya, sejarah pembangunan Malaysia dilakar melalui kalam para guru, ia disuburkan hasil jerih payah dan pengorbanan warga pendidik di bilik-bilik darjah dan padang-padang permainan. Sebetulnya lagi, sebuah negara yang maju, sebuah tamadun yang hebat, tidak mungkin terbina tanpa insan yang bergelar guru.

Hari ini, di setiap ceruk rantau negara, para guru tanpa mengenal penat lelah senantiasa membawa cahaya harapan kepada anak-anak Malaysia. Para gurulah yang membuka pintu gedung ilmu pengetahuan, membolehkan penerokaan khazanah minda seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan negara.

Setiap kejayaan nasional dari transformasi negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, tercatat di celah-celah lipatan kudratnya para guru.

Begitu juga lompatan transformasi berikutnya ke arah negara maju berpendapatan tinggi memerlukan sentuhan para guru sesuai dengan tema sambutan tahun ini "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara".

Lantaran itu, menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang telah dibuat para guru, maka kerajaan telah memutuskan untuk menambah baik skim perkhidmatan guru Malaysia. Sehubungan itu, sukacita saya maklumkan kerajaan telah bersetuju bahawa:

Sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam Perkhidmatan Perguruan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya time-based perlu diberi nafas baru.

Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun.

Makanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.

Oleh yang demikian, kerajaan memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran atau PDP yakni Guru Wibawa dan Pendeta Guru di mana guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan.

Pertamanya: Guru Biasa, keduanya: Guru Kanan, ketiganya: Guru Wibawa dan keempat: Pendeta Guru. Jelasnya, pewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

Selain itu, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan, mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Namun, untuk guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.

Untuk ini, kerajaan bersetuju menambah lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah jumlah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

Selanjutnya, sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan, kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.

Sementara itu, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 akan melibatkan 6,585 jawatan. Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.

Khabar gembiranya insya-Allah, tarikh kuat kuasa pelaksanaan semua perubahan yang dinyatakan tadi akan bermula pada 1 Januari 2012.

Begitulah, betapa pihak kerajaan amat memandang tinggi profesion keguruan di negara ini.

Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kira sama ada beliau seorang pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, akauntan, jurutera, ahli sukan atau apa jua pun kerjayanya, telah terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru.

Pujangga bermadah:

Guru umpama kandil yang
terang menyala,
Suluh cahayanya penerang jalan,
Sepatah kata dijadikan pelajaran,
Segumpal pesan dijadikan pedoman,
Ilmu dicurah mengorak alam
terkembang.

Akhir kata, mudah-mudahan para guru sekalian terus ikhlas dan bersemangat menabur jasa serta khidmat bakti kepada anak-anak watan demi sebuah Malaysia.



0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

About Me

tukartayarbaru
BERIKHTIAR DAN MENDOAKAN KESEMBUHAN SEMUA
View my complete profile

tukartayarbaru

tukartayarbaru

Malaysiakini

Harakah

Utusan Online

Kosmo Online