www.tukartayarbaru.blogspot.com : Email. tukartayarbaru@gmail.com

Saturday 30 April 2011

PERKAHWINAN DI RAJA BRITAIN CATAT SEJARAH

  • Foto PUTERA William dan Kate Middleton bertukar cincin ketika majlis perkahwinan mereka di Westminster Abbey, semalam.
  • Foto KATE dan William melambai ke arah keluarga selepas upacara perkahwinan di Istana Buckingham, semalam.
  • Foto PUTERA William bersama Kate dibawa dengan kereta kuda meninggalkan Westminster Abbey selepas upacara perkahwinan mereka.
  • Foto BINTANG bola sepak, David Beckham bersama isterinya, Victoria.
Istana menyebut William dinama Earl of Strathearn manakala Kate sebagai Countess of Strathearn

LONDON: Putera William dan Kate Middleton menerima hadiah perkahwinan diraja pertama mereka daripada Ratu Elizabeth semalam iaitu gelaran Duke and Duchess of Cambridge.
Istana Buckingham berkata, bahawa William kini secara rasmi bergelar His Royal Highness The Duke of Cambridge manakala isterinya, Catherine Middleton bergelar Her Royal Highness The Duchess of Cambridge.
Kenyataan istana menyebut bahawa William dinamakan sebagai Earl of Strathearn dan Baron Carrickfergus, manakala Middleton juga menerima gelaran yang sama sebagai Countess of Strathearn dan Baroness Carrickfergus.

Strathearn mengaitkan William dan Middleton dengan Scotland di mana pasangan itu bertemu dan saling jatuh cinta. Baron Carrickfergus adalah gelaran bangsawan yang merujuk kepada satu daripada bandar tertua di utara Ireland.

Ketiga-tiga gelaran berkenaan dikurniakan nenda William, Ratu Elizabeth II sebagai menandakan perkahwinan putera berkenaan dan diumumkan awal pagi semalam menerusi Twitter, e-mel dan halaman web rasmi perkahwinan diraja.

Disebabkan Middleton tidak dilahirkan dikalangan keluarga diraja, beliau tidak akan secara rasmi menjadi Puteri Catherine walaupun masyarakat umum akan memilih untuk memanggil beliau demikian atau mungkin “Puteri Kate”, menolak protokol.
Putera William, 28, pewaris kedua takhta British dan Kate Middleton, 29, sah bergelar suami isteri dalam majlis yang diadakan di Westminster Abbey dengan disaksikan 2,000 tetamu di gereja berkenaan selain dua bilion penonton dari seluruh dunia yang menyaksikan acara yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan internet.

Sementara itu di luar Westminster Abbey, orang ramai dari seluruh dunia mula memenuhi kawasan berkenaan sejak malam sebelumnya dengan harapan untuk melihat lebih dekat majlis penuh bersejarah itu.

“Saya hanya dapat lelap beberapa jam di muka pintu tetapi saya tidak kisah, hari ini adalah satu peluang seumur hidup dan saya perlu berada di sini untuk menyaksikan upacara berkenaan,” kata rakyat Kanada, Jay Edmonds.

Malah, ramai peminat yang sanggup berkhemah di sepanjang jalan Westminster semata-mata untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan perkahwinan bersejarah itu.

Dengan membawa bendera Union Jack, Terry Hut, 77, sanggup berkhemah sejak lima hari lalu untuk mendapatkan kedudukan di barisan paling hadapan bagi menyaksikan majlis perkahwinan diraja yang kelima bagi dirinya.

“Mereka akan berjalan secara berasingan tetapi ketika mereka berjalan bersama, mereka akan menjadi raja dan ratu England pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, pihak polis Britain dilaporkan sudah menahan tiga orang dalam operasi keselamatan berkaitan dengan perkahwinan diraja berkenaan.

Penahanan dibuat ketika pasukan polis Britain mempertingkatkan keselamatan pada waktu malam, kelmarin sebelum majlis di Westminster Abbey di mana seramai 5,000 anggota polis ditempatkan bagi menghalang kejadian tidak diingini.

Scotland Yard berkata, tiga individu ditahan di selatan London pada Khamis kerana disyaki menyebabkan gangguan awam dan melanggar keamanan.

Suspek terbabit adalah dua lelaki berusia 68 dan 45 serta seorang wanita berusia 60 tahun yang kini masih dalam tahanan polis Metopolitan. – AP/Reuters

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

About Me

tukartayarbaru
BERIKHTIAR DAN MENDOAKAN KESEMBUHAN SEMUA
View my complete profile

tukartayarbaru

tukartayarbaru

Malaysiakini

Harakah

Utusan Online

Kosmo Online