www.tukartayarbaru.blogspot.com : Email. tukartayarbaru@gmail.com

Tuesday 26 April 2011

IMAM DITAWAR RM3.5 JUTA. LAPORAN POLIS TELAH DIBUAT

KUALA BERANG: Sekumpulan tiga lelaki yang taksub dengan kegiatan menarik duit dan mencari harta karun sanggup menceroboh dan menggali beberapa kubur lama di Kampung Dusun di sini, kerana yakin kawasan itu tertanam harta karun bernilai lebih RM7 juta.

Kumpulan lelaki yang dipercayai dibantu seorang penduduk tempatan menceroboh kubur lama berkenaan apabila imam masjid kampung itu menolak permintaan mereka untuk menggali kubur di situ.

Imam terbabit, Abdullah Othman, 73, berkata, kumpulan berkenaan menggunakan pelbagai kaedah untuk mempengaruhinya yang juga penjaga kawasan perkuburan itu supaya membenarkan mereka menggali sedalam satu meter di kubur lama terbabit termasuk menawarkan separuh daripada nilaian harta ditemui tetapi tidak diendahkan. “Tiga bulan lalu mereka datang jumpa saya dan menawarkan RM3.5 juta untuk membenarkan mereka menggali beberapa kubur lama yang dikatakan mengandungi harta karun, tapi saya berkeras tidak membenarkannya menyebabkan mereka beredar,” katanya ketika ditemui di kawasan perkuburan itu, kelmarin.

Abdullah berkata, seorang daripada lelaki terbabit berusia 40-an memberitahu kononnya kawasan perkuburan itu tertanam harta karun bernilai lebih RM7 juta berdasarkan petunjuk disampaikan seorang dukun dari Indonesia.

Menceritakan mengenai pertemuan dengan kumpulan lelaki berkenaan, Abdullah berkata, mereka bertemunya di masjid kampung itu selepas solat Asar kira-kira tiga bulan lalu. Dalam pertemuan itu, katanya, kumpulan lelaki terbabit mengajaknya ke kawasan kubur yang terletak bersebelahan masjid berusia lebih 100 tahun itu dan menunjukkan tempat dipercayai tertanam harta karun.

“Biarpun membuat tawaran yang sangat lumayan, saya tetap tidak membenarkan mereka menggali kubur itu,” katanya. Abdullah berkata, apabila dia menolak tawaran itu, seorang daripada lelaki terbabit meminta kebenaran untuk mengambil sedikit tanah di kawasan itu untuk dibawa pulang kononnya bagi membolehkan seorang dukun dari Indonesia menarik harta karun di situ.

Bagaimanapun, katanya, mereka hampa dan beredar apabila Abdullah sekali lagi menolak permintaan itu.

“Bagaimanapun, pagi kelmarin, pemilik kebun duku bersebelahan kubur itu memberitahu melihat beberapa lubang sedalam kira-kira satu meter digali pihak tidak bertanggungjawab di tiga kubur lama. “Saya bergegas ke kawasan itu dan terkejut apabila mendapati tiga kubur lama digali sedalam satu meter dan ini membuatkan saya terus teringat pertemuan dengan empat lelaki berkenaan beberapa bulan lalu,” katanya

Abdullah berkata, dia tidak pernah mendengar cerita daripada orang tua di kampung itu terdapat harta karun tertanam dalam kawasan kubur berkenaan. “Sebelum ini, saya tidak pernah menceritakan kepada sesiapa kedatangan tiga lelaki terbabit termasuk kepada orang kampung kerana bimbang boleh menghangatkan lagi cerita berkenaan dan akhirnya menyebabkan ada pihak lain menceroboh kawasan kubur.

“Saya tak endahkan tawaran mereka dan tidak membenarkan sama sekali kumpulan lelaki ini menceroboh kawasan kubur lama ini.

“Ini amanah yang pelu saya pikul mereka tidak boleh melakukan perkara berkenaan di kawasan kubur,” katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau melaporkan kejadian pencerobohan kawasan kubur itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

About Me

tukartayarbaru
BERIKHTIAR DAN MENDOAKAN KESEMBUHAN SEMUA
View my complete profile

tukartayarbaru

tukartayarbaru

Malaysiakini

Harakah

Utusan Online

Kosmo Online