www.tukartayarbaru.blogspot.com : Email. tukartayarbaru@gmail.com

Wednesday 27 April 2011

ANALISIS : APA ISYARAT KEPUTUSAN PILIHANRAYA SARAWAK. Kesedaran Pengundi Senjata Utama

Ketika pilihan raya negeri tahun 2006 sesiapa juga boleh menjangka keputusan dengan mudah tetapi pilihan raya kali ini bagi tahun 2011 sebenarnya menguji kekuatan dan kelemahan politik kepartian yang diamalkan selama ini.


Akhirnya, apabila keputusan diumum,ia tidak memeranjatkan terutama yang mengikuti kempen tiga hari terakhir. Malahan, keputusan ini dianggap satu yang istimewa buat Barisan Nasional (BN) dalam suasana politik yang dipenuhi dengan kecemasan dan pelbagai andaian.

Bagi pembangkang, pelbagai kaedah digunakan untuk meruntuhkan moral BN sejak awal sehingga ke hari pengundian tetapi realitinya, pengundi Sarawak masih membekalkan peluang kepada BN untuk membuktikan bahawa ia komited untuk ‘menerajui perubahan’. Walaupun pada awal ada tanda-tanda akan berlaku protes, kecewa, merajuk dan marah dengan tingkah laku pemimpin tertentu, kedatangan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan

Pengerusi BN bersama dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya mengubah sentimen pengundi sekali gus membuatkan imaginasi pembangkang tercalar walaupun berkeyakinan menang dua pertiga di hari pengundian.

Walaupun BN berhadapan dengan satu siri pilihan raya kecil sejak Mac 2008 yang akhirnya keputusan seimbang dan tidak berpihak kepada mana-mana parti, namun pilihan raya negeri kali ini merupakan ujian pertama sejak Najib mengambil alih teraju kepimpinan negara pada April 2009. Keupayaan menang 55 kerusi, kurang tujuh kerusi daripada sebelumnya menunjukkan nilai ‘kepimpinan’ beliau diiktiraf dalam suasana politik yang tidak menentu.

Walkabout ke serata Sarawak disertai dengan pelbagai program dan aktiviti sepanjang hari oleh beliau dan Muhyiddin memberi keyakinan dan kepercayaan bahawa hubungan ‘pusat-negeri’ penting bagi majoriti pengundi jika mahukan politik pembangunan diteruskan dan pada waktu yang sama, menghormati pembaharuan persekitaran yang kian mencabar.

Kempen pilihan raya banyak tertumpu kepada ‘politik konfrantasi’ dan ‘politik pujukan’. Pembangkang secara tersusun memberi tumpuan ke atas isu kepimpinan, tanah adat, agama, integriti dan rasuah, manakala BN mahukan proses pembangunan dilihat kemampuan BN untuk mentadbir.

Jika pembangkang cuba mempengaruhi persepsi pengundi dengan politik berasaskan kepada maklumat dan hujah serta teknologi sehingga ribuan membanjiri siri ceramah mereka, BN pula di sebaliknya. Isu yang dibawa menjurus kepada ‘kejujuran’ Najib untuk meneruskan tradisi perubahan ke atas pembangunan dan bersedia berbincang dan melahirkan kepercayaan ke atas sejarah dan keupayaan semasa.

Kempen rumah ke rumah dan pertemuan dalam kelompok kecil lebih efektif walaupun tidak agresif. Jika pada awal BN dilihat defensif akhirnya kehadiran pemimpin utama tanah air telah memberi nilai tambah ke atas pencapaian BN.

Populariti Najib-Muhyiddin membawa lembaran baru di Sarawak untuk mengimbangi kelesuan nilai kepimpinan negeri. Jaringan kepimpinan akar umbi merupakan hambatan kepada BN dan barangkali SUPP tewas di 13 kerusi kerana hilang hubungan peribadi dengan penduduk setempat terutama di kawasan bandar.

SUPP perlu bertanggungjawab atas kegagalan menawan pusat pentadbiran negeri yakni kekalahan di Padungan, Pending, Kota Sentosa, Batu Lintang dan Batu Kawah, kesemuanya di Kuching. Bandar pentadbiran kini dikuasai lima serangkai. Malahan dalam kempen dinyatakan bahawa walaupun pembangkang menjadi ADUN, Kuching akan tetap dibangunkan oleh kerajaan negeri? Keyakinan yang berlebihan pada sejarah yang pengundi akan meneruskan sokongan tradisi sudah tidak relevan jika masing-masing tidak mahu ‘berubah’ mengikut peredaran masa.
Pemilihan calon juga penting. Bila dikatakan ‘winneable candidate’, calon mestilah tahu keperluan, kemahuan pengundi dan bukan diri sendiri atau penyokongnya. Lebih daripada itu, bacaan ke atas ‘mindset’ pengundi perlu dilakukan bukan hanya para strategis tetapi pemimpin sendiri. Kaedah berkempen sudah berubah. Jika masih mahu menggunakan poster lama yang tidak kreatif, hambar dan tidak ada keunikan, sukar menembusi minda pengundi. Kini, trendnya adalah untuk menyelongkar minda dan hati pengundi agar dapat meraih sokongan.

Keterbukaan perlu ada, ruang untuk menyampaikan maklumat dan menerima informasi agar membentuk hubungan dua hala dan bukannya menerusi orang ketiga. Jika pemimpin berjiwa elitis, maka pengundi akan membuktikan bahawa mereka adalah ‘raja’. Pemimpin mesti berjiwa muda, berkelayakan dan terlatih menjadi speaker. Kupasan isu secara sistematik, tersusun dan lancar dapat meyakinkan pengundi.

Pemimpin dan sekutu perlu membuat ‘home work’ dan bersedia awal secara terancang dengan isu yang bakal dibawa oleh lawan supaya mudah menepis apa sahaja isu yang dibawa. Kempen pilihan raya tidak lagi boleh dilayan seperti ‘rutin harian’ seperti dahulu. Persiapan rapi perlu jika mahu menang dengan bergaya terutama memenangi hati pengundi dengan kepercayaan ke atas isu. Politik angka tidak melihat kepada undi popular tetapi bilangan kerusi yang dimenangi walau dengan satu undi sekalipun.

Isyarat pengundi jelas iaitu terajui perubahan dengan integriti, amanah ke atas hal dan tanggungjawab, serta kejujuran calon dan parti. Malahan, signal sama sudah diberikan oleh pengundi Cina pada pilihan raya negeri 2006. Kenapa tidak ada sebarang langkah diambil di peringkat akar umbi untuk membina semula jaringan hubungan pemimpin dan pengikut apabila sokongan terhakis sebanyak 17 peratus jika dibandingkan dengan tahun 2001.

Kini mereka menolak habis-habisan. Barang sesiapa bertanding di bandar dengan majoritinya adalah pengundi Cina, mereka boleh menang jika lawannya BN. Itulah hakikatnya walaupun kawasan luar bandar masih meneruskan keyakinan ke atas BN. Parti mesti menampakkan kesungguhan, sekata dan sepakat dalam era merentasi keetnikan dan kelas di Sarawak. Kepimpinan lama dan kepentingan peribadi harus diketepikan dalam kedudukan semasa kerana jika masih berkeras, ia seolah-olah meranapkan semangat, keazaman dan motivasi untuk mengekalkan Sarawak sebagai ‘deposit selamat’ BN. Apakah kemasukan ahli baru berorientasikan etnik Cina perlu menjadi alternatif?
Pemimpin yang sayangkan parti tanpa membenarkan faktor keluarga dan sanak- saudara mempengaruhi keputusan kebangsaan adalah ‘wira bangsa’. Hanya masa dapat menentukan sama ada pemimpin bersedia berundur dengan sukarela ataupun diheret untuk melepaskan jawatan tersebut. Ini kerana walaupun menang di kawasan sendiri, harus disedari ia adalah kubu kuat dan wujudnya semangat assabiyah.

Pemimpin liabiliti perlu memberi ruang kepada Najib untuk mempercepatkan proses penukaran kepimpinan kerana ia akan dilihat bagaimana beliau membantu ‘meremajakan’ kepimpinan parti. Pelan ‘Lautan Biru’ dan pemikiran di luar kotak dalam politik hari ini penting kerana ia bukan lagi persoalan siapa benar dan salah tetapi nilai kepercayaan yang tinggi. Malahan, perang psikologi mendominasi pilihan raya kali ini. Bukan sahaja melalui poster dan kain rentang yang mempengaruhi pemikiran pengundi, malah teks ringkas turut dihantar melalui telefon bimbit, Facebook dan Twitter.

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

About Me

tukartayarbaru
BERIKHTIAR DAN MENDOAKAN KESEMBUHAN SEMUA
View my complete profile

tukartayarbaru

tukartayarbaru

Malaysiakini

Harakah

Utusan Online

Kosmo Online