www.tukartayarbaru.blogspot.com : Email. tukartayarbaru@gmail.com

Friday 11 March 2011

AZIZAN YAKIN PERTAHAN KEDAH, BASHAH KATA UMNO AKAN RAMPAS? Siapa Yang betul ni?

Kedah menjadi idaman BN pada PRU ke-13 akan datang sehinggakan mereka begitu bertungkus lumus untuk merampas Kedah dari genggaman PAS dan Pakatan Rakyat. Datuk Seri Azizan pula begitu optimis mempertahankan Kedah malah mensasarkan kelebihan majoriti 2/3 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri. Persoalan mana satu yang betul? Sama ada PAS terus kekal berkuasa atau UMNO BN akan merampas kita? Apa pilihan rakyat Kedah? Mari kita lihat apa kata PAS dan UMNO melalu imedia seperti Harakah dan Berita Harian. Terpulang pada anda untuk membuat penilaian yang terbaik. Undi di tangan rakyat Kedah.


PAS Kedah berkeyakinan parti itu mampu mencatatkan pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang dan kekal memerintah dengan majoriti 2/3.

Bercakap kepada media pada 21 Februari 2011, Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak selepas merasmikan Himpunan 30K Pemuda PAS di Kompleks PAS Kedah, kelmarin.

"Sasaran kita pada PRU 13 nanti adalah untuk tambah kerusi DUN, sekurang-kurangnya kita dapat tambah hingga memperoleh majoriti 2/3 untuk terus kekal mentadbir Kedah. "Kita telah pun mengenal pasti kawasan-kawasan yang mampu memberi kemenangan pada PAS apabila diadakan PRU 13 melalui maklum balas positif dari cawangan-cawangan di seluruh negeri.

"Jentera-jentera parti kita di semua peringkat juga sentiasa berusaha bagi memantapkan kekuatan dan menarik sokongan pengundi kepada PAS dari pelbagai aspek," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan menamakan kerusi-kerusi terbabit kerana menurutnya ia adalah strategi parti yang tidak perlu didedahkan kepada musuh.

Menurut Azizan yang juga Menteri Besar Kedah, keyakinan beliau itu adalah bersandarkan kejayaan Pakatan Rakyat mentadbir negeri itu dengan lancar tanpa sebarang isu yang mampu menggoyahkan kepercayaan rakyat terhadap kecekapan dan ketelusan pentadbirannya.

"Keyakinan saya amat tinggi sebab tidak timbul isu dalam negeri yang membolehkan rakyat menolak PR dan kita juga telus dalam pentadbiran, ekonomi semakin stabil, tiada gejala rasuah dan perancangan pembangunan sedang berjalan.

"Rakyat mampu menilai apa yang kita lakukan dan kita yakin rakyat juga akan memilih kita pada pilihan raya akan datang," katanya.

APA PULA KATA UMNO KEDAH?


LANGKAH Badan Perhubungan UMNO Kedah melantik timbalan ketua bahagian memegang beberapa jawatan penting dalam UMNO negeri adalah petanda jelas berlaku angin perubahan yang lebih agresif dan berani sedang berlaku demi memastikan parti utama orang Melayu itu terus gah untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.


Pelantikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz yang sebelum ini Setiausaha Kerja UMNO negeri ke jawatan Setiausaha Badan Perhubungan yang baru menggantikan Datuk Nawawi Ahmad, manakala Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Ghazali Ibrahim dilantik sebagai Bendahari menggantikan Datuk Mukhriz Mahathir yang dilantik Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri adalah gambaran kesungguhan parti itu untuk menawan kembali Kedah.

Bagi Ahmad Bashah pula, alasannya cuma satu iaitu untuk memastikan semua ketua bahagian memberi tumpuan terhadap tugas hakiki mereka bagi memastikan segala isu rakyat pada peringkat akar umbi menerima sentuhan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam usaha parti itu merampas semula pemerintahan di Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.


Katanya, tindakan itu adalah selaras komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui gagasan 1Malaysia yang mahu supaya denyut nadi rakyat dirasai dan diberi perhatian sewajarnya oleh kepimpinan UMNO peringkat negeri.


“Saya sudah berbincang dengan Ibu Pejabat UMNO dan presiden parti dan saya ambil pandangan mereka. Saya mahu ketua UMNO bahagian beri sepenuh perhatian kepada bahagian masing-masing," katanya.


Sebenarnya, titik tolak kebangkitan UMNO secara agresif bermula ketika Kedah dilanda banjir besar pada November tahun lalu yang menyaksikan segala jentera digerakkan bagi memastikan nasib rakyat yang mengalami musibah terbela.


Hikmah di sebalik bencana itu ialah ada usaha yang dilakukan kepemimpinan UMNO pada peringkat bahagian termasuk melalui sayap Pemuda, Wanita dan Puteri meruntun hati rakyat yang mula melihat kesungguhan UMNO mendekati mereka selepas diberi isyarat pada pilihan raya lalu.


Tindakan agresif pemimpin UMNO negeri yang tidak henti-henti bekerja siang dan malam turun padang bagi memastikan rakyat tanpa mengambil kira latar belakang politik mereka mendapat bantuan sewajarnya berjaya menenggelamkan imej seteru politik mereka dan meningkatkan imej parti itu di mata rakyat.


Impaknya kini mula dirasai oleh rakyat dan UMNO sendiri perlu mengambil kesempatan ini untuk mengekalkan momentum dalam usaha mereka menawan semula Kedah pada pilihan raya umum nanti.


Atas sandaran ini, ditambah pula dengan program dirangka bagi tahun ini, UMNO Kedah berani melahirkan keyakinan untuk mampu meraih kemenangan lebih dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.


Ahmad Bashah melahirkan keyakinannya BN mampu menang di 31 kerusi daripada 36 yang dipertandingkan pada pilihan raya nanti. Ini bersandarkan kepada mood pengundi yang berubah dan mula beralih kepada BN apabila menyedari ada banyak kelemahan dalam kepemimpinan negeri yang diterajui pembangkang ketika ini.


Azizan bagi pihak PAS yakin memperolehi lebih majoriti 2/3 kerusi DUN manakala UMNO kata mereka mampu menawan 31 daripada 36 kerusi DUN Kedah.

Tepuk dada tanyalah selera pengundi. Yang pasti rakyat Kedah mahukan pembangunan yang diurus tadbir dengan baik, mendapat keberkatan di sisi Allah dengan perlaksanaan program-program kebajikan. Yang pasti rakyat Kedah kekal selesa dengan pentadbiran Azizan ketika ini, hasil negeri bertambah, Sultan semakin disanjungi, pemimpin dihornati, rasuah diperangi, dan yang paling penting hukum agama sentiasa didaulatkan.

 

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts

 

About Me

tukartayarbaru
BERIKHTIAR DAN MENDOAKAN KESEMBUHAN SEMUA
View my complete profile

tukartayarbaru

tukartayarbaru

Malaysiakini

Harakah

Utusan Online

Kosmo Online